Kebakaran Putra Heights: DUPP tuntut siasatan bebas, gunakan prinsip 'polluter pays'

ALOR SETAR – Kerajaan digesa untuk bersikap lebih telus dalam menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab terhadap tragedi letupan saluran paip gas di Putra Heights baru-baru ini.
Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) mencadangkan agar prinsip 'polluter pays' diterapkan dalam menangani insiden tersebut, dengan menuntut agar pihak yang terbukti bersalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kerosakan dan kemusnahan yang berlaku.
Ketua DUPP, Datuk Ahmad Yahaya berkata, prinsip itu mengharuskan pihak yang terbukti bersalah untuk menanggung segala kerugian yang dialami oleh mangsa serta komuniti setempat.
Beliau turut menggesa agar siasatan menyeluruh, bebas dan telus dijalankan berkaitan insiden tersebut.
"Siasatan tidak wajar dilakukan secara sambil lewa, apatah lagi cuba menyembunyikan pihak yang bertanggungjawab daripada dikenakan tindakan," kata Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Ahmad mencadangkan agar sebuah badan bebas ditubuhkan untuk menjalankan siasatan terperinci dan mendedahkan hasilnya kepada masyarakat.
"Kami harap pihak yang bertanggungjawab dalam menjalankan siasatan kes ini melakukannya secara menyeluruh dan telus," tambahnya.
Beliau juga melahirkan rasa kesal dengan kenyataan separuh masak yang dikeluarkan oleh beberapa agensi berkaitan yang hanya menambahkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, kenyataan yang tidak jelas itu hanya memburukkan keadaan.
"Kenyataan seperti itu harus dielakkan agar maklumat sebenar tragedi dapat didedahkan. Jangan cuba menutup bangkai gajah dengan nyiru," katanya, sambil menegaskan bahawa menyalahkan pihak lain yang tiada kaitan langsung dengan insiden tersebut adalah tidak wajar.
Ahmad menegaskan bahawa kerajaan perlu mengambil serius tragedi itu dan memastikan bahawa siasatan dilakukan secara terbuka dan berintegriti, dengan memandang serius keselamatan dan pengurusan risiko yang berkaitan.
"Dalam era maklumat terbuka hari ini, semua pihak seharusnya lebih bertanggungjawab dan beretika dalam mengeluarkan kenyataan serta laporan. Memutarbelitkan fakta hanya akan memburukkan keadaan dan menjejaskan kepercayaan rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

