Lelaki Rohingya tahu salah tapi tetap degil tunggang motosikal tanpa lesen

Buruh binaan etnik Rohingya (dua dari kanan) yang melakukan kesalahan menunggang motosikal, disoal oleh Mohd Misuari (dua dari kiri). FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Buruh binaan etnik Rohingya (dua dari kanan) yang melakukan kesalahan menunggang motosikal, disoal oleh Mohd Misuari (dua dari kiri). FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki etnik Rohingya warga Myanmar tetap berdegil menunggang motosikal tanpa sebarang dokumen sah walaupun tahu perbuatannya itu melanggar undang-undang negara ini.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang melaksanakan sekatan jalan raya Op Khas Hari Raya Aidilfitri hari terakhir di Jalan Kuala Krai di sini pada Selasa.

Dia yang mengaku memilki kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mendakwa meminjam motosikal milik rakannya dan dalam perjalanan pulang ke rumah terletak berdekatan selepas selesai membeli ikan di kawasan Lembah Sireh di sini.

Lelaki Rohingya (kanan) yang ditahan kerana menunggang motosikal tanpa sebarang dokumen. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Lelaki Rohingya (kanan) yang ditahan kerana menunggang motosikal tanpa sebarang dokumen. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

“Saya tahu tak boleh bawa motosikal, tapi saya pinjam sekejap sahaja, rumah dekat.

“Kad UNHCR ada, tapi tertinggal di rumah,” katanya.

Lelaki terbabit juga memberitahu bekerja sebagai buruh rumah batu dan tinggal bersama isteri serta dua individu lain di rumah tersebut.

Menurutnya, dia sudah tinggal di negara ini selama 12 tahun selepas mendakwa membayar RM8,000 kepada ejen untuk masuk menggunakan laluan laut.

Lelaki itu turut mengaku pernah dipenjara selama enam bulan di Penjara Pengkalan Chepa di sini pada tahun 2013 kerana kesalahan tidak memiliki pasport.

Artikel Berkaitan:

Semakan mendapati motosikal Honda Dash yang ditunggang tidak mempunyai cukai jalan dan dikeluarkan notis saman seterusnya disita oleh JPJ.

Lelaki terbabit diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen negeri Kelantan untuk tindakan dokumentasi dan semakan berkaitan status pasport atau kad UNHCR lelaki berkenaan.

Sementara itu, Pengarah JPJ negeri Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, sehingga kini, sebanyak 196 motosikal yang disita masih belum dituntut oleh pemilik yang dipercayai individu tempatan.

“Penunggangnya pula kita dapati kebanyakannya Rohingya. Mereka berani, berbeza dengan warga Bangladesh yang kebiasaan hanya berbasikal.

“Dalam satu kes, kami tahan sebuah lori pikap yang dipandu Rohingya dan kes itu dibawa ke mahkamah,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, melalui pelaksanaan Op Pemandu Warga Asing (Pewa) sejak tahun lalu, sebanyak 1,080 kes direkodkan di bawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Jalan (P22), manakala 849 kes di bawah Seksyen 64(1).

“Bagi tempoh Januari tahun ini hingga sekarang, kita sudah keluarkan 79 notis di bawah P22 dan 39 kes di bawah Seksyen 64(1),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!