2014 rumah ditenggelami bah kuning, tahun ini ditimbus tanah

Mohd Azlan (kanan) menunjukkan bahagian dapur yang terkena runtuhan. Gambar kanan: Melihat kepada keadaan sekarang rumah mereka sudah tidak selamat untuk didiami dan menunggu kehadiran pihak berkuasa untuk mengambil langkah seterusnya. -FOTO: SINAR HARIAN-HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Mohd Azlan (kanan) menunjukkan bahagian dapur yang terkena runtuhan. Gambar kanan: Melihat kepada keadaan sekarang rumah mereka sudah tidak selamat untuk didiami dan menunggu kehadiran pihak berkuasa untuk mengambil langkah seterusnya. -FOTO: SINAR HARIAN-HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

KUALA KRAI - Belum pun hilang trauma 10 tahun lalu akibat bah kuning, dua keluarga terus diuji apabila rumah mereka di Simpang Empat Lata Rek, Laloh di sini ditimbus tanah dalam kejadian pada Jumaat.

Situasi itu menyebabkan mereka hilang tempat berteduh yang telah diduduki lebih 12 tahun apabila pihak berkuasa mengarahkan kawasan tersebut dikosongkan atas faktor keselamatan.

Rumah mereka sudah tidak lagi selamat diduduki kerana runtuhan tanah tersebut.FOTO: SINAR HARIAN-HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Rumah mereka sudah tidak lagi selamat diduduki kerana runtuhan tanah tersebut.FOTO: SINAR HARIAN-HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Suri rumah, Salma Abdul Kadir, 56, berkata, kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu terlalu cepat namun bersyukur kerana mereka sempat selamatkan diri.

"Runtuhan kecil berlaku sekitar jam 4 petang, kemudian 6 petang. Ketika ini saya serta suami yang uzur kerana penyakit tiga serangkai serta tiga anak termasuk seorang OKU (orang kurang upaya) sudah mulai rasa takut kerana rumah kami berhampiran dengan bukit.

"Kami mengambil keputusan untuk pindah ke rumah adik saya yang terletak berhampiran. Begitu juga anak lelaki kami serta isteri dan tiga anaknya yang tinggal di sebelah rumah turut mengambil langkah sama kerana bimbangkan keselamatan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, tidak sampai empat jam kemudian runtuhan telah berlaku sehingga menyebabkan bahagian kedua-dua rumah serta bengkel motosikal milik anak lelakinya itu turut sama terkena serpihan batu serta tanah.

Ujarnya, runtuhan tersebut menghasilkan bunyi yang sangat kuat sehingga jiran tetangga berlari keluar kerana menyangkakan mereka berada di dalam rumah.

Artikel Berkaitan:

"Mujurlah kami pindah cepat, kalau tidak mesti ada kemalangan jiwa kerana runtuhan tersebut terkena di bahagian bilik tidur serta dapur.

"Keluarga saya dan anak lelaki semuanya 10 orang kini menumpang di rumah adik yang dihuni enam orang. Bayangkan 16 orang dalam satu masa hendak muat di sebuah rumah kecil ini sehingga memaksa suami dan anak-anak tidur di luar atas pangkin," katanya.

Salma memberitahu, mereka juga terpaksa memasak di luar rumah dan menjadikan halaman sebagai tempat berkumpul.

Tambahnya, melihat kepada keadaan sekarang rumah mereka sudah tidak selamat untuk didiami dan menunggu kehadiran pihak berkuasa untuk mengambil langkah seterusnya.

Ujar dia, mujurlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah sudi menghulurkan sumbangan untuk membuat bangsal buat sementara waktu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang ke akaun anak lelakinya, Mohd Azlan Hamzah 2006701000192889, Agro Bank.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!