Kelahiran bayi pemindahan rahim pertama UK satu keajaiban - Pakar

LONDON - Pakar menyifatkan kelahiran seorang bayi selepas kejayaan pemindahan rahim pertama di UK sebagai 'pencapaian besar' dan 'keajaiban' bagi satu keluarga, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Stuart Lavery, perunding dalam bidang perubatan reproduktif di University College London Hospitals NHS Foundation Trust (UCLH) berkata "peristiwa menakjubkan yang bukan sahaja keajaiban peribadi bagi pasangan terlibat tetapi juga kejayaan pasukan pakar bedah dan saintis yang selama bertahun-tahun bekerja tanpa lelah untuk mencapai tahap ini.
"Seperti banyak pencapaian penting dalam perubatan reproduktif UK, ia memerlukan gabungan pesakit yang berani dan pasukan perubatan yang komited, menyokong untuk menolak sempadan saintifik dengan harapan membantu lebih banyak pasangan memiliki keluarga yang mereka inginkan."
Profesor Alison Campbell, ketua pegawai saintifik di Care Fertility berkata, "sungguh luar biasa bagaimana sains memungkinkan kelahiran dan melihat kemajuan ini dalam perubatan reproduktif.
"Kejayaan pemindahan rahim adalah pencapaian besar bagi orang yang merasakan mustahil untuk mengandung.
"Berita ini memberi harapan untuk terus memperluas kebebasan reproduktif."
Grace Davidson, 36, dari utara London, menerima organ itu daripada kakaknya, Amy menerusi pemindahan rahim pertama di UK pada 2023, melahirkan anak perempuannya pada Februari, yang dinamakan Amy Isabel sempena nama ibu saudaranya dan seorang pakar bedah yang membantu menyempurnakan teknik itu.
Dr Melanie Davies, profesor perubatan reproduktif dan pakar perunding ginekologi di University College London Hospitals, berkata "kelahiran pertama di UK selepas pemindahan rahim adalah pencapaian yang luar biasa.
"Pasangan berkenaan pasti gembira, terutamanya Grace, yang tidak pernah menyangka mampu mengandung. Tahniah!
"Dan sudah pasti doktor dan saintis yang melihat hasil ini, berpuas hati.
"Tahniah kepada Profesor Richard Smith, yang berpegang kepada visi ini selama 25 tahun dan terpaksa mengatasi banyak rintangan di sepanjang jalan, terutamanya dalam mengumpul dana untuk program itu.
"Ia memerlukan kepakaran daripada ginekologi, pembedahan pelvis, pemindahan organ, IVF hingga perubatan kepada ibu. Ia adalah contoh kerja berpasukan dan dedikasi."
Beliau berkata kelahiran Amy Isabel memberi harapan kepada wanita lain yang dilahirkan tanpa rahim dan juga boleh membantu wanita muda yang memerlukan histerektomi.
"Satu-satunya alternatif bagi wanita ini adalah ibu tumpang, yang tidak mudah diakses dan tidak selalu diterima," katanya.
"Pemindahan rahim kekal sebagai proses yang mencabar, melibatkan pembedahan besar bagi penerima, yang akan menjalani IVF sebelum prosedur dan selepas itu memerlukan ubat imunosupresif untuk mengelakkan penolakan tisu.
"Aspek etika dipertimbangkan dengan teliti, termasuk risiko kepada penderma hidup, yang juga menjalani pembedahan pelvis.
"Ini bukan yang pertama di dunia, terdapat sejumlah kecil kelahiran yang berjaya di negara lain, terutamanya di Sweden.
"Tetapi bagi pesakit pertama yang menjalani pemindahan rahim di UK dan melahirkan anak sejurus selepas itu menunjukkan penjagaan yang dibuat sesuai sehingga ia berjaya," katanya. - Bernama-dpa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
