Gelang tangan emas diragut ketika ulang tahun kelahiran

SEREMBAN - Hari ulang tahun kelahiran biasanya menjadi kenangan indah, namun sebaliknya ia menjadi hari paling menyedihkan bagi Rubiah Harun apabila gelang tangannya bernilai RM6,500 diragut pada Selasa.
Kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu berlaku ketika warga emas berusia 65 tahun berkenaan menyiram pokok bunga di hadapan rumahnya di Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi di sini.
Menceritakan kejadian, Rubiah berkata, ketika itu, dia baru saja sampai ke rumah selepas pergi membeli barang tidak jauh dari rumahnya.
"Saya pergi beli barang naik motosikal dan sebelum masuk rumah, saya menyiram pokok bunga di luar.
"Tiba-tiba saya nampak sebuah motosikal dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan berpusing di situ dan berhenti di pintu masuk ke flat ini, manakala salah seorangnya turun," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, suspek yang memakai topi keledar berpenutup penuh datang menghampirinya, lalu merentap gelang tangan yang dipakai sebelum melarikan diri.
Ujarnya, kejadian itu berlaku sangat pantas dan seorang pemandu kenderaan yang nampak kejadian berlaku sempat menjerit meminta tolong.
"Ada penduduk yang cuba mengejar suspek, tapi tak berjaya.
"Saya bersyukur kerana tak alami sebarang kecederaan, tetapi masih trauma dan paling menyedihkan kerana ia berlaku pada hari ulang tahun kelahiran saya ke 65 tahun," katanya.
Rubiah berkata, gelang tangan terbabit dibelinya hasil bermain duit kutu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan menerima laporan mangsa dan sedang memburu suspek.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

