Terubin, kaedah tradisional tangkap ikan dari Sungai Jelai

LIPIS – Ketika teknologi moden semakin menggantikan kaedah tradisional, sekumpulan kaki pancing di sekitar Sungai Jelai, di sini, masih setia mempertahankan warisan turun-temurun iaitu kaedah terubin untuk menangkap ikan air tawar.
Bagi penduduk tempatan, terubin bukan sekadar alat menangkap ikan, malah simbol identiti dan warisan budaya yang kaya.
Terubin diperbuat daripada rotan dahan, seni serta kayu-kayu hutan lain dan dipasang secara strategik di kawasan berarus tenang, biasanya berhampiran tebing atau lubuk yang menjadi laluan ikan seperti tenggalan dan ubi.
Antaranya, Mohamad Syukri Yusof, 45, dari Kampung Mela di sini, mengatakan bahawa penggunaan terubin masih menjadi pilihan buat dirinya selain teknik-teknik lain.
"Teknik ini memang tiap tahun dibuat penduduk seperti di Sungai Jelai di kawasan air yang tenang.
"Kalau pada masa kini, baung ekor merah yang banyak masuk perangkap," ujarnya yang sudah lebih 20 tahun terlibat dalam aktiviti tersebut.
Jelasnya, proses membuat terubin memerlukan fokus dan ketelitian supaya ia dapat berfungsi dengan baik. Keunikannya terletak pada teknik pemasangan yang memerlukan ilmu dan pengalaman, termasuk memahami aliran sungai, pergerakan ikan serta keadaan cuaca.
"Kalau semua peralatan dan bahan ada, sekurang-kurangnya seminggu boleh siapkan selain kosnya tidak tinggi kalau dapat semua bahan sendiri serta mesra alam.
"Sekarang ini, tidak ramai yang tahu buat perangkap sebegini dan hanya segelintir sahaja yang masih mampu menghasilkan terubin," katanya lagi.
Tambahnya, terubin dipasang pada waktu petang dan setakat ini, antara tangkapan lumayan yang pernah diraih ialah ikan tapah seberat 30 kilogram.
Dalam pada itu, dia yang juga mesra dengan panggilan Pok Mat sedia berkongsi ilmu dengan mereka yang ingin mempelajari cara menghasilkan terubin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

