Lima nelayan warga Myanmar tangkap ikan tanpa kebenaran ditahan

KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan lima warga Myanmar termasuk tekong sebuah bot nelayan di kedudukan 9.2 batu nautika barat daya Pulau Tengah di sini pada Isnin.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C ketika Maritim Malaysia melaksanakan rutin operasi di perairan negeri ini pada jam 12 tengah hari.

"Bot nelayan tersebut didapati melakukan aktiviti penangkapan ikan kurang dari 15 batu nautika dari daratan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kelima-lima individu berusia 18 hingga 42 tahun itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk bekerja di atas vesel tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Abdul Muhaimin berkata, selain itu, bot tersebut didapati melanggar syarat tambahan iaitu tidak mengibarkan bendera Malaysia semasa belayar.
"Kesemua kru, vesel dan hasil tangkapan ikan campur seberat 50 kilogram dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
