Lantik bekas tentera, polis sebagai warden tetap MRSM - Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memperhalusi cadangan menempatkan warden sepenuh masa berjawatan kontrak di semua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan tersebut telah dikemukakan beliau ketika perbincangan dengan Ketua Pengarah Mara untuk memastikan budaya buli ini dapat dikekang sepenuhnya.
"Antara yang saya minta pihak pengurusan perhalusi ialah cadangan untuk menempatkan warden sepenuh masa berjawatan kontrak di semua MRSM seluruh Malaysia."Warden ini boleh dilantik melalui proses temu duga dan penilaian holistik terhadap calon-calon dalam kalangan pesara tentera mahupun polis yang mempunyai keupayaan yang baik untuk menerapkan elemen disiplin serta memantau secara lebih komprehensif pembangunan sahsiah dan keperibadian pelajar di asrama," katanya.
Asyraf Wajdi berkata demikian dalam ruangan komen hantaran di Facebook beliau mengenai keputusan hukuman terhadap tujuh pelajar MRSM di Pulau Pinang yang dikenal pasti telah membuli seorang pelajar dalam video yang tular baru-baru ini.
Sebelum ini, bekas guru, Mohd Fadli Mohamed Salleh pernah mencadangkan agar diwujudkan jawatan warden secara tetap yang terdiri daripada pesara askar, polis dan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Tambah beliau, tugas warden tidak sesuai diberikan sepenuhnya kepada guru kerana ia sangat berat dan memerlukan perhatian sepanjang masa.
"Jangan humban tugas warden pada guru. Bagi sahaja kuasa kepada warden untuk merotan dan menghukum selagi tidak sampai tahap mendera.
"Aku rasa lebih lima kali aku tulis pasal warden ini. Tapi tidak mahu dengar atau dengar tapi tidak mahu bertindak.
"Ini kes yang tular dan tersebar. Banyak kes buli didiamkan dan tidak tular berlaku di banyak sekolah berasrama termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan MRSM juga," ujarnya menerusi laman Facebook.
Beliau mempunyai keyakinan bahawa kes buli akan menurun sekiranya warden asrama seperti yang dicadangkan diwujudkan.
"Kalau letak warden bekas askar, setiap hari dan setiap masa bersama pelajar, aku yakin dan percaya budaya buli akan menurun mendadak.
"Harap sangat MRSM dapat jadi perintis kemudian diikuti oleh semua sekolah-sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

