Muafakat Nasional perlu terajui Perak

 Irmalini Amir Hamzah
Irmalini Amir Hamzah
A
A
A

IPOH - Puteri UMNO Perak menyifatkan Muafakat Nasional di negeri ini perlu memimpin kerajaan baharu di Perak.

Pemangku Ketua Penerangannya, Irmalini Amir Hamzah berkata, Menteri Besar Perak juga perlulah dalam kalangan gabungan tersebut dan Pengerusi UMNO negeri itu, Datuk Saarani Mohamad wajar dilantik ke jawatan tersebut berdasarkan pengalaman luas di dalam politik.

Beliau berkata, pentadbiran kerajaan negeri dijangka lebih kukuh dan tersusun memandangkan Saarani pernah berada di dalam pentadbiran kerajaan negeri di bawah dua Menteri Besar iaitu Tan Sri Tajul Rosli Ghazali dan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

"Sebagai ahli akar umbi saya terpanggil menyuarakan pendapat peribadi jika kerajaan negeri Perak yang baharu terbentuk untuk memberi peluang kepada Datuk Saarani mengetuai pentadbiran kerajaan negeri.

"Saya yakin dengan pengalaman dan rekod politik beliau, Perak akan dipacu lebih ke hadapan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Irmalini yakin bahawa rakan-rakan di dalam Muafakat Nasional akan memberi sokongan padu kepada Saarani untuk menerajui Perak.

Katanya, kewibawaan sebagai Ketua Pembangkang di DUN Perak sebelum ini membuktikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu layak untuk dipilih sebagai Menteri Besar Perak baharu.

Bukan mahu menidakkan keupayaan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk kekal sebagai Menteri Besar, beliau melihat seseorang yang lebih berpengalaman perlu mentadbir Perak kerana perlu berdepan pembangkang khususnya DAP.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Perak dijangka bertukar pentadbiran susulan gabungan baharu membentuk kerajaan Persekutuan apabila Muafakat Nasional menyertai kerajaan selepas menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang baharu.

[Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/72080/KHAS/Peralihan-Kerajaan/Doakan-saya-kekal-Ahmad-Faizal]

Pakatan Harapan (PH) hilang majoriti membentuk kerajaan di Perak selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertindak keluar daripada pakatan tersebut.

Disebabkan itu, daripada 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini, PH kini hanya mempunyai 28 kerusi DUN hasil gabungan DAP, PKR dan Amanah manakala Muafakat Nasional yang terdiri daripada UMNO dan Pas juga mempunyai 28 kerusi.

Sementara itu, dua lagi kerusi DUN milik Bersatu manakala satu kerusi DUN bebas.

Tamat