Malaysia tidak perlu tergesa-gesa bertindak balas terhadap AS

Sufian
Sufian
A
A
A

BANGI - Malaysia tidak perlu tergesa-gesa dalam memberi maklum balas terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif sebanyak 24 peratus ke atas produk eksport dari negara ini.

Sebaliknya, menurut Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sufian Jusoh, Malaysia perlu meneliti secara menyeluruh setiap strategi yang akan diambil, termasuk mengadakan rundingan dengan pentadbiran Presiden AS ketika ini, Donald Trump.

Beliau menjelaskan, situasi Malaysia berbeza berbanding negara seperti Vietnam dan Kemboja yang dikenakan tarif lebih tinggi, justeru pendekatan Malaysia juga perlu berbeza.

“Saya tidak terkejut jika Vietnam sudah mula berunding dengan Presiden Donald Trump kerana mereka terkesan secara langsung dengan kadar tarif yang tinggi.

“Vietnam banyak mengeksport produk seperti tekstil dan sedikit semikonduktor ke AS, dan ini memberi kesan besar kepada sektor pekerjaan mereka. Produk seperti pakaian dan kasut untuk jenama-jenama terkenal dunia dihasilkan di sana,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Bicara Persada bertajuk “Tarif Trump: Kesan dan Langkah Malaysia” anjuran Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) dengan kerjasama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) serta Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) UKM, pada Isnin.

Turut menjadi panel dalam program itu ialah Pengarah MINDA-UKM, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali serta Felo Bersekutu dan Profesor Adjung Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB), Dr Mohd Shahreen Madros.

Tambah Sufian, Malaysia perlu melakukan analisis mendalam terhadap data perdagangan kerana produk eksport negara ke AS adalah lebih pelbagai dan kompleks.

“Malah, banyak produk semikonduktor dari Malaysia tidak dikenakan tarif kerana ia berkualiti tinggi dan berteknologi canggih.

Artikel Berkaitan:

“Malaysia juga perlu berhati-hati kerana terdapat 12 isu yang dibangkitkan AS dalam rundingan perdagangan, yang kebanyakannya melibatkan perkara bukan tarif,” jelasnya.

Antara isu yang diketengahkan termasuklah reformasi dalam perolehan kerajaan, pemberian lesen perbankan, lesen insurans semula serta pensijilan halal.

“Kerajaan Malaysia sebenarnya sudah mula melaksanakan beberapa langkah reformasi. Namun, kita perlukan penerangan lanjut dan strategi perundingan yang kukuh.

“Kita mesti jelas tentang apa yang mahu dibawa ke meja rundingan dan apa yang perlu dijelaskan kepada pihak AS. Jika kita ambil sedikit masa lagi selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Ekonomi ASEAN, saya yakin strategi yang lebih mantap dapat dibentuk,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!