AS kenakan tarif 24 peratus ke atas import Malaysia

AS mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus terhadap barangan import dari Malaysia.
AS mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus terhadap barangan import dari Malaysia.
A
A
A

AMERIKA SYARIKAT - Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus terhadap barangan import dari Malaysia.

Tarif baru itu diumumkan Presiden AS, Donald Trump, pada Khamis mengenai gelombang tarif baharu sebagai sebahagian daripada langkah perdagangan global.

Menurutnya, kadar tarif tinggi turut dikenakan terhadap beberapa negara lain yang berdagang dengan AS.

China dikenakan tarif sebanyak 34 peratus; Kesatuan Eropah, 20 peratus; Vietnam, 46 peratus dan Sri Lanka, 44 peratus.

Selain itu, Kemboja dikenakan tarif sebanyak 49 peratus; Laos, 48 peratus dan Myanmar, 44 peratus.

“Tarif ini bukan timbal balik sepenuhnya. Saya boleh lakukan timbal balik penuh tetapi ia akan menyukarkan banyak negara.

“Kita tidak mahu itu terjadi,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan pusingan baharu tarif itu digelar sebagai 'Liberation Day', dengan alasan langkah itu bertujuan mencapai perdagangan yang lebih adil, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Trump berjanji untuk memperkenalkan 'tarif timbal balik' bagi menghukum negara lain yang mengenakan tarif dan halangan perdagangan terhadap AS.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut data Reuters, Malaysia mencatatkan defisit dagangan dengan AS bernilai AS$25 bilion, manakala China sebanyak AS$295 bilion.

Defisit dagangan berlaku apabila Malaysia mengeksport lebih banyak barangan ke negara berkenaan berbanding jumlah import dari AS.

Perdagangan dua hala Malaysia dan AS mencecah RM324.9 bilion pada tahun 2024.

AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, merangkumi 11.3 peratus daripada jumlah perdagangan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!