'Kereta, empat motosikal rentung, rumah dari luar nampak elok'

Keadaan semasa kawasan kebakaran yang melibatkan saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights. Foto Bernama
Keadaan semasa kawasan kebakaran yang melibatkan saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights. Foto Bernama
A
A
A

PUCHONG - “Syukur rumah yang kami duduki hampir 18 tahun ini tak hangus walaupun beberapa rumah sekitar terjejas akibat kejadian ini".

Demikian kata seorang penduduk Kampung Tengah, Zamin Akbar, 56, yang masih trauma dengan insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas pada Selasa lalu.

Menurut Zamin, dia bersama isteri dan anak-anak berada di kampung halaman di Perak sempena sambutan Aidilfitri ketika kejadian berlaku.

“Saya dapat tahu kejadian ini melalui isteri yang terima maklumat dari jiran. Katanya banyak rumah musnah, hati saya masa tu risau sangat.

"Harap sangat rumah kami tak terjejas. Bila tengok laporan media, memang banyak rumah musnah dan rosak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Zamin berkata, sejak hari kedua kejadian, dia sekeluarga tidak menetap di pusat penempatan sementara (PPS), sebaliknya menumpang di rumah seorang rakan di Cyberjaya.

“Saya tak duduk PPS. Dari hari kedua kejadian, saya dah tinggal di rumah kawan.

"Ada juga balik kampung sekejap, tapi kami cepat-cepat balik semula ke sini sebab nak tengok keadaan rumah,” ujarnya.

Beliau menjelaskan rumah yang didudukinya merupakan milik sendiri dan telah didiami hampir dua dekad.

Artikel Berkaitan:

“Rumah ni memang rumah saya sendiri, bukan peninggalan keluarga. Kami dah tinggal dekat 18 tahun.

"Keluarga saya memang dah lama duduk kawasan ni, sejak zaman orang tua lebih 30 ke 40 tahun,” katanya.

Mengulas keadaan semasa rumahnya, Zamin berkata dari luar, rumah itu tidak mengalami kerosakan teruk namun pemeriksaan dalaman masih belum dilakukan.

“Dari luar nampak elok. Tapi dalam rumah saya tak pasti. Kalau ikut firasat, dalam tu mungkin 80 peratus masih baik.

"Cuma belum sempat periksa wiring dan keselamatan dalaman, pihak TNB datang pun tengok bahagian luar saja, bahagian dalam kami kena semak sendiri,” katanya.

Zamin turut memaklumkan bahawa beberapa kenderaan milik keluarganya mengalami kerosakan teruk dalam kejadian tersebut.

“Kereta kami habis rentung masa kejadian. Motor pun ada empat biji rosak, tapi alhamdulillah rumah masih berdiri, tak terbakar macam rumah yang lain,” katanya.

Zamin yang mempunyai lima orang anak berkata, ramai jiran mereka masih belum dapat pulang kerana rumah masing-masing mengalami kerosakan serius dan kini masih menetap di PPS.

“Saya dan isteri ada lima anak, umur dari 13 tahun sampai 30 tahun. Ramai lagi jiran kami yang belum boleh balik rumah.

"Rumah mereka teruk rosak dan sekarang masih tinggal di PPS,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!