Tarif AS: Kerajaan digesa perjelas bantuan kepada pemain industri, kata Hamzah

SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera mengambil langkah proaktif dalam memperjelaskan bentuk bantuan yang bakal disalurkan kerajaan bagi membantu pemain industri yang kini semakin tertekan susulan pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, pemain industri tidak memerlukan jawapan berbunga-bunga, sebaliknya menantikan penjelasan mudah dan jelas demi kelangsungan operasi serta pekerjaan yang bergantung kepada sektor tersebut.
“Terima kasih atas respon yang sangat diplomatik. Pemain industri cuma nak tahu apa kerajaan boleh bantu kepada mereka supaya mereka tidak terjejas teruk akibat pelaksanaan tarif AS.
“Ringkas dan terus kepada maksud sahaja,” katanya di X pada Ahad.
Khamis lalu, Presiden AS, Donald Trump telah menandatangani memo berhubung pelaksanaan tarif ke atas sekutu dan pesaing negara itu dalam tempoh 180 hari.
Tindakannya menandakan peningkatan dramatik dalam perang perdagangan antarabangsa yang dikhuatiri ahli ekonomi bakal mencetuskan inflasi di Washington.
Berikutan itu, Hamzah berkata, jika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri berkaitan masih mahu meneliti beberapa perkara sebelum membuat keputusan, beliau menganggap perkara itu boleh diterima.
Namun, katanya, kelewatan membuat keputusan hanya akan menambahkan tekanan kepada pemain industri yang kini sudah berada dalam keadaan terhimpit.
“Cumanya, jangan mesyuarat lama-lama. Makin lama, makin memuncak keresahan mereka terlibat. Kasihan mereka,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

