Kes buli: Lima daripada tujuh pelajar MRSM dirakam keterangan

NIBONG TEBAL- Polis telah merakam keterangan lima daripada tujuh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini yang dipercayai terlibat dalam kes buli seperti yang tular sejak Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintenden Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata, dua pelajar lagi akan diambil keterangan dalam masa terdekat.
"Pegawai penyiasat telah mengambil keterangan lima daripada mereka yang berusia 15 tahun.
"Proses merakam keterangan dan dijangka selesai dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Tambah Mohd Norazmi, polis akan cuba menyelesaikan siasatan kes tersebut secepat mungkin.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Terdahulu, polis membuka satu kertas siasatan berhubung satu klip video memaparkan insiden buli di sebuah bilik dipercayai asrama yang tular di media sosial sejak pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Jay January Siowou berkata, siasatan akan dijalankan secara holistik dengan mengambil kira semua aspek.
Menurutnya, polis mengambil tindakan proaktif dengan mengesan lokasi institusi terlibat dan semua individu yang dilihat dalam video berkenaan untuk dirakam keterangan.
Tambahnya, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dengan mengambil kira semua aspek sebelum dirujuk kepada pihak pendakwa raya.
Sebelum itu, polis mengesan satu klip video berdurasi 1 minit 31 saat dimuat naik oleh akaun Facebook ‘Utara Kini’ dan telah meraih lebih 710,000 tontonan, 1,000 komen serta 445 perkongsian sehingga tengah hari Isnin.
Klip tersebut menunjukkan beberapa individu dipercayai pelajar, melakukan perbuatan seperti membuli ke atas seorang individu lain yang berada di atas katil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!