Sambung momentum Ramadan dengan puasa sunat, berikut kelebihannya

WALAUPUN Ramadan sudah menutup tirainya, tetapi masih ada segelintir individu yang terus istiqamah berpuasa sunat selepas bulan mulia itu.
Ketahuilah bahawa kembali berpuasa selepas puasa Ramadan merupakan petanda diterimanya ibadah Rukun Islam keempat yang dikerjakan.
Demikian fakta yang dikongsikan oleh pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

“Sesungguhnya ALLAH SWT apabila menerima amalan seorang hamba, DIA akan memberi taufik kepadanya untuk melakukan amalan soleh sesudahnya, kata Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali Rahimahullah.
“Sekiranya selepas Ramadan ini kita masih melakukan puasa sunat, berterusan membaca al-Quran, melakukan qiamullail, mendirikan solat secara berjemaah, bergembiralah bahawa yang demikian itu merupakan sebahagian petanda amalan kita diterima,” katanya dipetik menerusi hantaran berkenaan.
Ustaz Muhammad Fahmi kemudian memetik pandangan Ibnu Rajab dalam kitab Al-Lata’if al-Ma’arif yang menyenaraikan beberapa faedah berpuasa sunat selepas Ramadan.
Berikut perinciannya:
1. Berpuasa enam hari dalam bulan Syawal selepas berpuasa Ramadan dapat melengkapkan pahala puasa sepanjang tahun.
2. Puasa sunat Syawal dan Syaaban adalah sama seperti solat-solat sunat rawatib yang dilakukan sebelum dan selepas solat fardu.
Ibadah itu menyempurnakan segala kekurangan yang terdapat pada solat fardu yang dikerjakan. Sesungguhnya ibadah fardu dapat disempurnakan dengan ibadah sunat pada hari kiamat kelak.

3. Kembali berpuasa setelah Ramadan merupakan petanda diterimanya puasa Ramadan.
4. Puasa Ramadan mendatangkan keampunan dosa-dosa terdahulu.
Mengertilah, orang yang berpuasa Ramadan akan diberi ganjaran pahala pada hari raya memandangkan ‘hari kemenangan’ itu ialah hari penerimaan ganjaran.
Maka menyambung puasa selepas hari raya adalah suatu bentuk kesyukuran terhadap nikmat itu dan tidak ada nikmat yang lebih besar selain daripada pengampunan dosa.
5. Amalan yang dilakukan oleh seorang hamba kepada Tuhannya pada bulan Ramadan tidak terhenti dengan berlalunya bulan agung itu.
Selagi mana kita bergelar hamba kepada Sang Pencipta dan hidup di muka bumi ini, segala kewajipan tetap perlu disempurnakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
