Perlukah izin suami untuk qada puasa?

TERDAPAT keadaan tertentu yang memerlukan seorang isteri mendapatkan kebenaran suaminya terlebih dahulu sebelum mengqadakan puasa. -Foto: CANVA
TERDAPAT keadaan tertentu yang memerlukan seorang isteri mendapatkan kebenaran suaminya terlebih dahulu sebelum mengqadakan puasa. -Foto: CANVA
A
A
A

BAGI seorang wanita yang mahu berpuasa sunat, mereka perlu mendapatkan keizinan daripada suami terlebih dahulu.

Ia berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Seorang wanita (isteri) tidak boleh berpuasa sedangkan suaminya hadir (wujud bersamanya) kecuali dengan izinnya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Dalam satu lagi riwayat lain oleh Imam Abu Daud, wujud lafaz ‘selain puasa Ramadan’.

Menjelaskan perkara itu, ujar Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed, para ulama menyatakan bahawa isteri diharamkan berpuasa selain daripada puasa bulan Ramadan melainkan dengan izin suaminya atau dirinya mengetahui keredaan ‘imamnya’ jika berbuat demikian.

DR SYED SHAHRIDZAN
DR SYED SHAHRIDZAN

Bagaimana pula dengan puasa qada? Perlukah mendapat keizinan suami juga?

Menjawab pertanyaan itu, agamawan tersebut menjelaskan bahawa terdapat keadaan tertentu yang memerlukan seorang isteri mendapatkan kebenaran suaminya terlebih dahulu sebelum mengqadakan puasa.

Bagi memudahkan kita memahaminya, beliau memperincikan kategori puasa yang diharamkan menurut fuqaha Mazhab Syafie bagi seorang isteri melainkan selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada suaminya menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Berikut perinciannya:

1. Puasa sunat yang berulang-ulang setiap minggu dan bulan.

Sebagai contoh, puasa sunat hari Isnin, Khamis dan hari-hari putih, selain puasa sunat mutlak dan puasa bulan-bulan haram.

2. Puasa qada Ramadan yang panjang tempoh qadanya.

Misalnya, isteri ingin berpuasa qada pada awal tahun, maka dia wajib mendapatkan keizinan daripada suaminya. Ini kerana puasa qada boleh ditangguhkan, manakala hajat suami kepada isteri wajib dilaksanakan dengan kadar segera selagi tiada keuzuran syarie.

PARA ulama menyatakan bahawa isteri diharamkan berpuasa selain daripada puasa bulan Ramadan melainkan dengan izin suaminya atau dirinya mengetahui keredaan ‘imamnya’ jika berbuat demikian. -Foto: CANVA
PARA ulama menyatakan bahawa isteri diharamkan berpuasa selain daripada puasa bulan Ramadan melainkan dengan izin suaminya atau dirinya mengetahui keredaan ‘imamnya’ jika berbuat demikian. -Foto: CANVA

3. Puasa fardu yang boleh ditangguhkan.

Contohnya, puasa nazar mutlak iaitu puasa yang tidak ditetapkan hari tertentu.

Sementara itu, bagi kategori puasa yang tidak wajib seorang isteri untuk mendapatkan keizinan suaminya, Dr Syed Shahridzan menyenaraikannya seperti berikut:

1. Puasa qada Ramadan yang sempit tempoh qadanya.

Umpamanya, isteri ingin qada puasanya pada penghujung bulan Syaaban.

2. Puasa nazar yang ditetapkan pada tarikh spesifik.

Jika tidak berpuasa pada hari itu, maka dikira berdosa kerana melanggar janji nazar.

3. Puasa sunat hari Arafah, Tasu’a dan Asyura.

Ini kerana ia merupakan kategori puasa jarang wujud dalam satu tahun.

4. Puasa sunat enam Syawal.

Menurut pandangan Sheikh Al-’Abbadi, puasa sunat enam Syawal juga sama seperti kategori puasa nombor tiga kerana ia puasa sunat yang tidak berulang setiap minggu atau bulan.

Seandainya suami tidak berada di samping isterinya, ujar pendakwah itu, isteri diharuskan melakukan apa sahaja jenis puasa tanpa keizinan pasangannya.

“Ini untuk kes seperti pasangan perhubungan jarak jauh (PJJ) dan suami bekerja di luar kawasan,” coretnya.

ISTERI perlu mendapatkan keizinan daripada suami untuk berpuasa sunat dan mengqadakan puasa jika tempoh qadanya singkat. -Foto: CANVA
ISTERI perlu mendapatkan keizinan daripada suami untuk berpuasa sunat dan mengqadakan puasa jika tempoh qadanya singkat. -Foto: CANVA

Sementara itu, Jabatan Mufti Negeri Selangor menerusi artikel soal jawab agama yang disiarkan dalam laman webnya menjelaskan, seorang isteri disyaratkan untuk meminta izin terlebih dahulu daripada suami dalam bab puasa sunat menurut Imam An-Nawawi dalam kitab Sharh al-Muhazzab.

“Jika isteri berpuasa tanpa izin suaminya, maka puasanya sah, tetapi berdosa.

“Malah sekiranya suami meminta isterinya berbuka puasa dan berkehendak ke atas dirinya, wanita itu perlu membatalkan puasanya kerana menunaikan hak suami adalah wajib lebih utama daripada amalan sunat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web emusykil.muftiselangor.gov.my.

Hal itu bersandarkan kepada hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak halal bagi seorang wanita untuk berpuasa (puasa sunat) sedangkan suaminya menyaksikannya, dengan tanpa izin dari suaminya, tidak boleh seorang isteri mengizinkan seseorang masuk ke dalam rumah kecuali dengan izin suaminya, jika si isteri menggunakan harta (suami) tanpa izin suaminya, maka suaminya akan mendapat sebahagian pahalanya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!