PBT perlu ada pasukan khas pantau, tangani salah guna kuasa

SHAH ALAM - Setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menubuhkan unit atau pasukan khas dalaman bagi memantau dan menangani isu ketirisan serta salah guna kuasa dalam jabatan masing-masing.
Naib Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Malaysia (Gapema), Baharudin Mohamed Ali berkata, ada keperluan mendesak untuk langkah pencegahan yang lebih menyeluruh dan berkesan di peringkat akar umbi tanpa bergantung sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa pusat.
"Pendekatan sedia ada yang lebih tertumpu kepada lawatan rasmi dan pemantauan dari luar dilihat kurang mencukupi untuk membendung masalah integriti yang dikhuatiri semakin meruncing dalam kalangan penjawat awam.
"Setiap jabatan di bawah PBT perlu ada unit pemantau mereka sendiri. Walaupun kecil, peranan mereka penting untuk memastikan wujud semak dan imbang secara dalaman," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Tambah beliau, unit khas terbabit boleh bertindak menilai amalan kerja, memantau laporan aduan dan mencadangkan penambahbaikan berdasarkan garis panduan integriti yang jelas.
Baharudin berpandangan, isu integriti dalam kalangan penjawat awam bukan perkara baharu, malah sering kali dikaitkan dengan ketirisan dan rasuah.
"Kita melihat ada sesetengah penjawat awam yang hidup mewah seperti membeli tanah dan rumah serta kereta mewah," ujar beliau lagi.
Jelasnya, ada syarikat membina tempat perniagaan di atas tanah atau tanah rizab kerajaan dan di bawah pencawang elektrik, sedangkan peniaga kecil dilarang berbuat demikian.
Menurut Baharudin, situasi ini bukan sahaja menjejaskan kepercayaan rakyat tetapi turut membantutkan pembangunan di peringkat tempatan.
"Jadi, pentingnya pembangunan rohani dan nilai keimanan dalam kalangan penjawat awam, selain latihan teknikal.
“Ketelusan bukan hanya datang daripada sistem, tapi juga dari dalam diri seseorang. Iman dan amanah perlu dijadikan asas dalam membina integriti penjawat awam,” tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

