Bursa Malaysia merosot lebih 4 peratus akibat ketegangan perdagangan AS-China

Bursa Malaysia susut 4.33 peratus, sejajar dengan kelemahan pasaran serantau.
Bursa Malaysia susut 4.33 peratus, sejajar dengan kelemahan pasaran serantau.
A
A
A

BURSA Malaysia mencatatkan kejatuhan ketara pada sesi pagi Isnin apabila indeks utama susut lebih empat peratus, sejajar dengan kelemahan pasaran serantau susulan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang kembali memuncak.

Pada jam 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 65.07 mata atau 4.33 peratus kepada 1,439.07 berbanding paras penutup minggu lalu iaitu 1,504.14.

Indeks penanda aras itu dibuka lemah dengan penyusutan 28.83 mata kepada 1,475.31 dan terus merudum ke paras terendah harian 1,419.05 sepanjang dagangan pagi.

Sentimen keseluruhan pasaran juga negatif apabila 1,274 kaunter rugi mengatasi hanya 88 kaunter untung, manakala 125 kaunter tidak berubah, 872 tidak diniagakan dan 19 digantung.

Jumlah dagangan dicatatkan sebanyak 3.15 bilion unit bernilai RM2.54 bilion.

Penurunan itu berlaku susulan tindakan China mengenakan tarif balas terhadap AS, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap potensi perang dagangan besar-besaran yang boleh menjerumuskan ekonomi global ke arah kemelesetan.

Firma penyelidikan Malacca Securities menjangkakan sentimen berhati-hati dijangka berterusan dalam tempoh terdekat berikutan pengumuman tersebut dan pelabur kini semakin beralih kepada aset selamat.

Pasaran serantau turut mencatatkan penyusutan besar, antaranya Nikkei 225 Jepun merosot 6.99 peratus kepada 31,420.83, manakala Indeks Straits Times Singapura jatuh 8.12 peratus kepada 3,515.09, dan Hang Seng Hong Kong susut 10.70 peratus kepada 22,404.62.

Indeks Kospi Korea Selatan pula turun 5.09 peratus kepada 2,340.13, menjadikan kejatuhan hari ini antara yang terbesar dalam tempoh beberapa bulan.

Artikel Berkaitan:

Di Bursa Malaysia, kaunter-kaunter utama menyaksikan penyusutan ketara. Maybank turun 26 sen kepada RM9.98, Public Bank susut 15 sen kepada RM4.22, manakala TNB kehilangan 50 sen kepada RM12.98.

Selain itu, CIMB merosot 38 sen kepada RM6.63, dan IHH Healthcare turun 13 sen kepada RM6.66.

Kaunter aktif turut mencatatkan penurunan seperti MYEG yang susut 12.5 sen kepada 79.5 sen, Velesto Energy jatuh dua sen kepada 14 sen, dan Nationgate turun 15 sen kepada RM1.10.

Sementara itu, Indeks FBM Emas turun 585.76 mata kepada 10,609.89, manakala FBMT 100 jatuh 553.28 mata kepada 10,420.60 dan FBM Emas Syariah susut 636.20 mata kepada 10,286.98.

FBM 70 susut 1,112.24 mata kepada 14,738.93 dan FBM ACE Index turun 360.91 mata kepada 4,271.69.

Dalam sektor-sektor utama, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 699.71 mata kepada 17,606.80, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 10.39 mata kepada 136.81, dan Indeks Tenaga jatuh 69.53 mata kepada 649.74.

Indeks Perladangan pula merosot 274.69 mata kepada 7,057.50.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!