4 syarikat gagal patuhi SOP, diarah hentikan aktiviti 'seawalking'

KOTA KINABALU - Empat syarikat menyediakan perkhidmatan sukan laut di Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR), di sini, diarahkan untuk menghentikan operasi aktiviti 'seawalking' selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Timbalan Pengarah Bahagian Operasi, Penswastaan dan Pembangunan Taman-Taman Sabah (TTS), Maipol Spait berkata, arahan itu dikeluarkan susulan pemeriksaan yang dibuat dalam Ops Patuh SOP yang dilaksanakan pada Isnin.
"TTS telah melaksanakan operasi penguatkuasaan yang bertujuan untuk memastikan semua pengusaha aktiviti sukan laut mematuhi SOP Aktiviti Rekreasi Taman-Taman Marin 2024.
"Sepanjang operasi, terdapat empat syarikat 'seawalking' yang beroperasi di Pulau Mamutik dan Pulau Manukan telah diperiksa dan dikenal pasti telah melanggar SOP," katanya ketika dihubungi.
Susulan itu, beliau berkata, peringatan telah diberikan kepada syarikat terbabit bersama 10 individu berkaitan.
"Mereka telah diarah untuk menghentikan operasi 'seawalking' serta-merta sehingga syarat-syarat keperluan SOP dipatuhi sepenuhnya.
"Apabila semua SOP sudah dipatuhi, barulah syarikat itu boleh beroperasi semula aktiviti tersebut," katanya.
Maipol turut menegaskan agar pengusaha pelancongan yang lain supaya sentiasa mematuhi SOP Aktiviti Rekreasi Taman Marin 2024 demi keselamatan dan keharmonian industri pelancongan domestik.
"Pengusaha pelancongan khususnya yang beroperasi di TTS harus sentiasa peka kerana operasi yang seumpama ini akan dilaksanakan dari masa ke masa," katanya.
Sebelum itu, operasi yang diketuai Maipol sendiri turut dibantu Pengurus TTAR dan lima anggota penguatkuasa TTS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
