Bisu bukan penghalang kasih sayang

Muhammad Nabil (kanan) berkomunikasi dengan ibunya menggunakan bahasa isyarat.
Muhammad Nabil (kanan) berkomunikasi dengan ibunya menggunakan bahasa isyarat.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang remaja dari Durian Tunggal di sini, membuktikan bahawa kasih sayang keluarga tidak terbatas kepada keupayaan fizikal apabila dia memiliki ibu bapa yang merupakan orang kurang upaya (OKU) bisu.

Anak bongsu daripada dua beradik, Muhammad Nabil Mohd Nqzrol,18, berkata, dia tidak pernah berasa malu memiliki ibu dan bapa yang mempunyai kekurangan itu, malah menganggapnya sebagai keistimewaan dan jalan untuk dia ke syurga.

Menurutnya, sejak berusia tiga tahun dia telah diajar oleh ibunya, Noorul Huda Abd Rahman, 45, dan bapanya, Mohd Nazrol Dollah, 46, yang mengusahakan warung cendol, untuk menggunakan bahasa isyarat.

Muhammad Nabil (kiri) berbual dengan ibu bapanya menggunakan bahasa isyarat yang dipelajari sejak berusia tiga tahun.
Muhammad Nabil (kiri) berbual dengan ibu bapanya menggunakan bahasa isyarat yang dipelajari sejak berusia tiga tahun.

Katanya, ia sekali gus memberi kelebihan kepada dirinya kerana tidak semua orang normal mampu berbahasa isyarat.

"Walaupun mak ayah tidak boleh bercakap, tapi kalau saya buat salah, saya juga tidak terlepas dari dimarahi mereka menerusi bahasa isyarat dan juga reaksi muka, begitu juga kalau bergurau.

"Sebab itu saya tak pernah rasa bisu itu satu kekurangan, kerana mereka sama seperti manusia normal cuma tiada boleh bercakap," katanya ketika ditemui di rumahnya di Air Semubuk, Durian Tunggal.

Muhammad Nabil yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Disember tahun lalu berkata, biarpun ketika kecil dia pernah berasa sedih diejek rakan kerana mempunyai ibu bapa bisu, namun hakikatnya keluarganya penuh dengan kasih sayang.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Nabil (tengah) sentiasa ditemani ibu bapanya termasuk ketika hari graduasi pelajar tingkatan lima pada tahun lalu.
Muhammad Nabil (tengah) sentiasa ditemani ibu bapanya termasuk ketika hari graduasi pelajar tingkatan lima pada tahun lalu.

Katanya, menginjak usia dewasa, dia semakin sedar bahawa keluarganya istimewa, bukan kerana kekurangan, tetapi kerana keunikan yang ada pada ibu bapanya.

"Saya tidak pernah rasa rendah diri, sebaliknya bangga kerana mereka adalah ibu bapa yang penuh dengan kasih sayang.

"Ibu bapa saya mungkin tidak boleh bercakap, tetapi kasih sayang mereka lebih kuat daripada seribu kata-kata," katanya.

Tambah bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal itu, dia akan sentiasa berperanan sebagai 'suara’ untuk ibu bapa terutama sekiranya berurusan dengan pihak luar.

Katanya, apa yang dilakukan bukanlah satu beban, sebaliknya tanggungjawab sebagai seorang anak lebih-lebih pengorbanan mereka yang OKU, namun berjaya membesarkan dua anak.

Ujarnya, ibu bapanya juga sering menjadi perhatian dan ditegur orang ramai setelah dia kerap kali memuat naik video mereka bertiga di aplikasi TikTok.

Gambar kenangan Muhammad Nabil (depan, kanan) bersama keluarganya pada hari lebaran.
Gambar kenangan Muhammad Nabil (depan, kanan) bersama keluarganya pada hari lebaran.

Malah katanya, rezeki mereka juga semakin murah apabila ibu bapanya turut dipanggil menjadi pengulas makanan oleh beberapa restoran dan kedai makan sebelum video rakaman dimuat naik di TikTok.

"Kalau pergi mana-mana ramai yang tegur kami dan mereka akan tanya 'ini ke yang ibu ayah bisu.

"Jadi bila masyarakat tegur dan memberikan kata-kata semangat, secara tidak langsung ibu bapa saya tak rasa rendah diri dan mereka dapat rasakan diterima masyarakat," katanya yang bercita-cita mahu menjadi jurubahasa isyarat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!