Ikatan kasih sayang berkekalan walau berlainan agama, bangsa

SHAH ALAM - Berlainan agama tidak melunturkan sifat kasih sayang antara keluarga Shahriff Ariffin dan pasangan suami isteri berketurunan Cina, Ah Chai dan Amoi yang terjalin sejak 38 tahun lalu.
Malah anak sulung pasangan itu yang diberi nama timangan Siti, dijadikan anak angkat kepada keluarga Shahriff sejak dilahirkan pada 1988.
Sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, Siti buat pertama kalinya menziarahi keluarga angkatnya itu selepas 10 tahun terpisah kerana berpindah ke daerah lain.

Berkongsi perkara itu Shahriff memberitahu, Siti dijaga oleh keluarganya sejak berusia 30 hari dan hanya berjumpa ibu bapa kandung selepas waktu Magrib setiap hari untuk dibawa keluar makan malam.
"Mereka hanya ambil Siti setiap hari selepas waktu Maghrib untuk keluar makan dan akan hantar semula kerumah kami selapas waktu Isyak.
"Siti juga tidur malam dengan ibu saya dan begitulah rutin setiap hari sehingga Ah Chai dan Amoi dikurniakan dua anak lelaki pada 1990 dan 1992.

"Dua anak mereka yang turut diberi nama timangan Yusuf dan Ismail juga dijaga oleh keluarga saya sehingga mereka berumur sekitar lima ke enam tahun,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu sebuah video yang dimuat naik di TikTok memaparkan kunjungan Siti bersama ahli keluarganya ke kediaman Shahriff meraih perhatian penguna platform itu.
Lelaki berusia 45 tahun itu turut memuat naik gambar kenangan Allahyarham bapanya, Ariffin Yahaya bersama ketiga-tiga anak angkat Cina di platfom berkenaan.

Sementara itu menurut Shahriff, keluarganya tidak menyangka menerima kunjungan Siti setelah lebih 10 tahun mereka tidak bertemu antara satu sama lain.
"Syawal pertama baru-baru ini mereka sekeluarga datang beraya di Shah Alam dan pelbagai cerita serta kenangan yang kami kongsikan.
"Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila setiap kali arwah abah mahu membeli barangan eletrik, Ah Chai akan belikan secara tunai dan bayaran ditolak daripada sewaan kedai pada keluarga kami.

"Sewaktu ibu nak tunai umrah, Ah Chai juga ada minta kebenaran untuk menanggung semua kos ke Tanah Suci, namun demi mencari keberkatan kami adik beradik ambil keputusan guna wang sendiri dan dia tetap beri wang belanja untuk ibu guna sewaktu di sana," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
