Tarif Trump: Malaysia ambil langkah ke depan tangani isu berbangkit

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia sudah mengambil langkah ke depan dalam menangani pelaksanaan tarif yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu lalu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu diambil ekoran Malaysia sudah menjangkakan potensi kenaikan tarif berkenaan.

Beliau menjelaskan, Malaysia telah mempelbagaikan pasaran eksport ke negara lain termasuk Kenya, Oman dan Namibia bermula tahun lalu dan berjaya mencapai rekod baharu di samping Angola dengan lonjakan 59.3 peratus diikuti Ethiopia (56.4 peratus), Mesir (53.6 peratus) serta Algeria (27.9 peratus)

"Kerajaan juga giat mengadakan perjanjian perdagangan bebas dengan pelbagai negara dan awal tahun ini kita sudah menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (MY-UAE CEPA).

"Selain itu, kita juga telah mulakan semula rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Korea Selatan pada tahun lalu.

"Satu lagi pasaran eksport yang mempunyai potensi besar ialah ASEAN kerana perdagangan masih rendah di bawah 25 peratus dan sebagai Pengerusi ASEAN 2025, antara fokus Malaysia adalah meningkatkan perdagangan antara negara ASEAN," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, Trump mengumumkan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari Malaysia dalam gelombang perang perdagangan global.

Presiden AS itu turut mengumumkan tarif timbal balik yang tinggi terhadap China sebanyak 34 peratus, Kesatuan Eropah (20 peratus), Vietnam (46 peratus), Sri Lanka (44 peratus), Kemboja (49 peratus), Laos (48 peratus) dan Myanmar (44 peratus).

Dalam pada itu Tengku Zafrul menjelaskan, sumber kekuatan Malaysia ialah ekonomi tempatan yang dipacu oleh perbelanjaan dalam negara iaitu lebih 60 peratus.

Artikel Berkaitan:

Malah menurutnya, kerajaan juga turut menubuhkan Pusat Pengurusan Geoekonomi Negara (NGCC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merangka strategi komprehensif dalam menangani isu berkenaan.

"Pada masa sama, kita akan teruskan rundingan dengan kerajaan AS untuk cari jalan penyelesaian menang-menang bagi kedua belah pihak.

"Yakinlah kerajaan akan sentiasa berusaha untuk memastikan kepentingan ekonomi Malaysia dan rakyat dilindungi sebaik mungkin," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!