Pesan khatib buat suami, isteri dan anak

Khutbah khas Aidilfitri itu menekankan sikap menghargai pasangan selain mendidik anak dan berbuat baik kepada ibu bapa

SENTIASALAH berhubung dan eratkan hubungan dengan ibu bapa serta saudara yang jauh. Foto Canva
SENTIASALAH berhubung dan eratkan hubungan dengan ibu bapa serta saudara yang jauh. Foto Canva
A
A
A
SETELAH sebulan berusaha melaksanakan ibadah puasa dan menghidupkan malam-malamnya dengan pelbagai amalan soleh, akhirnya tiba masa kita merayakan kemenangan dengan penuh kesyukuran pada Aidilfitri yang mulia.

ALLAH SWT berfirman: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (sebulan Ramadan) dan hendaklah kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah: 185)

Menurut khatib, Aidilfitri merupakan saat terbaik umat Islam untuk memperkukuhkan kasih sayang terutamanya dalam rumah tangga itu sendiri.

“Suami jangan pernah lupa insan yang sentiasa di sisi. Ibu kepada anak-anak kita itulah yang paling lelah menyiapkan segala keperluan keluarga.

“Wahai nakhoda rumah tangga, jadilah suami yang soleh lagi amanah kepada isteri dengan melihat kepada akhlak Nabi Muhammad SAW terhadap keluarga Baginda,” pesan khatib pada permulaan khutbah khas Aidilfitri.



Khutbah yang bertajuk Aidilfitri: Kembali kepada fitrah, lindungi amanah ALLAH itu disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang dan dibacakan khatib di seluruh negeri itu pada 1 Syawal lalu.

Menyambung khutbah, khatib membacakan sepotong hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah yang paling baik terhadap isteriku.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

JENGUKLAH dan berbuat baiklah kepada ibu bapa yang masih hidup. Foto Canva
JENGUKLAH dan berbuat baiklah kepada ibu bapa yang masih hidup. Foto Canva



“Hadis ini mengajarkan bahawa kebaikan seseorang diukur melalui layanan terhadap keluarganya.

“Rasulullah SAW telah menunjukkan kasih sayang kepada isterinya dengan berbicara lembut, membantu kerja rumah dan meluangkan masa bersama,” ujarnya.

Khatib menambah, pernah diceritakan bahawa Baginda SAW sendiri menjahit pakaiannya dengan membantu isterinya, Aisyah RA dalam urusan rumah tangga.

“Wahai suami misali, hargailah setiap pengorbanan pasangan kita. Hari ini, genggamlah jari-jemari mereka, peluk dan ucapkanlah terima kasih.

“Kebahagiaan rumah tangga bukan terletak pada kemewahan tetapi pada keikhlasan, penghargaan dan cinta yang tulus antara suami, isteri, anak-anak serta seluruh ahli keluarga,” jelasnya.

Hargai pejuang nafkah keluarga

Tidak lupa buat isteri, khatib turut menitipkan pesanan agar menghargai suami yang setiap hari berjuang mencari nafkah demi memenuhi keperluan keluarga.

“Dengan keringat dan usaha merekalah, isteri dan anak-anak dapat menikmati kehidupan selesa, mengenakan pakaian indah pada hari yang mulia ini.

“Wahai isteri, ucapkan kata-kata penghargaan, zahirkanlah kasih sayang dan cinta yang tulus kerana sekecil mana pun penghargaan itu, ia mampu mengukuhkan ikatan rumah tangga,” hurainya.



Jelasnya, isteri juga teruslah bersabar meskipun kepenatan menekan dan bertabahlah walau diuji dengan pelbagai dugaan.

DALAM berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai, jagalah tingkah laku dan adab anak-anak. Foto Canva
DALAM berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai, jagalah tingkah laku dan adab anak-anak. Foto Canva



“Bertuturlah dengan penuh kelembutan kerana kata yang lembut ibarat air, meskipun tenang, ia mampu melekukkan batu.

“Begitu juga santunan kata yang baik daripada isteri, dapat melembutkan hati suami walaupun ia sekeras besi.

“Jadikanlah setiap tugas yang dilaksanakan sebagai ladang menjana pahala kebaikan. Ingatlah setiap pengorbanan yang ikhlas semata-mata kerana ALLAH akan menjadi saham pada Hari Penghitungan,” jelasnya panjang.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban: “Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan taat kepada suaminya, maka dia boleh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia kehendaki.”

Jangan alpa keselamatan, adab anak-anak

Dalam keasyikan mengatur atau menganjurkan rumah terbuka, berkunjung sesama sanak saudara dan sahabat handai, jangan sesekali alpa terhadap keselamatan, adab serta didikan anak-anak, pesan khatib.

“Pastikan kita dan mereka tidak berlebihan menikmati juadah. Jangan sampai memudaratkan kesihatan.

“Awasi juga pergaulan mereka sama ada secara fizikal mahupun dalam maya, agar tidak terpengaruh dengan perkara yang melalaikan atau bertentangan dengan syariat,” ujarnya.

Lebih utama katanya, tanamkan dalam jiwa mereka nilai kesyukuran dan kesederhanaan dalam menyambut Aidilfitri.

“Ingatlah anak-anak adalah amanah ALLAH. Kelalaian dalam membimbing mereka boleh menjadi beban besar di akhirat kelak.



“Manfaatkan Aidilfitri ini untuk menyemai kasih sayang, hormat-menghormati dan kebersamaan dalam keluarga.

“Bimbing mereka memahami hakikat sebenar Aidilfitri, bukan sekadar pakaian baharu atau juadah enak sahaja tetapi hari di mana hati kembali suci, silaturahim dieratkan, iman dan takwa diperkukuhkan,” jelasnya.

Khatib turut berpesan, bagi mereka yang masih mempunyai 'kunci syurga', usah sesekali melupakan jasa dan pengorbanan ibu serta ayah yang telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang.



“Mereka telah berpenat lelah dalam memastikan kehidupan kita terjaga dan terpelihara. Pulanglah, bermaaf-maafan, gembirakan dan doakan kesejahteraan mereka.

SALING menghargai pasangan dan berkasih sayang sesama ahli keluarga amat dituntut dalam Islam.
SALING menghargai pasangan dan berkasih sayang sesama ahli keluarga amat dituntut dalam Islam.



“Jika ibu bapa masih ada, peluklah mereka dengan kasih, cium tangan mereka dengan penuh hormat dan luangkan masa bersama mereka dengan sepenuh jiwa. Itulah tanda bakti seorang anak yang soleh,” katanya.

Sambung khatib, bagi mereka yang ibu bapanya telah tiada, jangan biarkan rindu sekadar menjadi air mata yang jatuh sia-sia.

“Terangilah kubur mereka dengan doa, panjatkan keampunan buat mereka dan jadikan setiap amal kebajikan kita sebagai bekal bagi ketenangan roh mereka di alam barzakh,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!