Maaf zahir dan batin: Adat atau ibadah?
Fahami erti sebenar ungkapan itu dalam Islam agar kemaafan dipohon penuh kesempurnaan

KALIMAT ‘Maaf zahir dan batin‘ sering terlafaz pada bibir setiap kali tibanya Syawal apabila bertandang ke rumah orang, bersalaman mahupun menyantuni sanak saudara atau sahabat handai lain.
Benar, sejak kecil kita diajar bahawa Aidilfitri adalah masa untuk bermaafan. Bahkan, Rasulullah SAW sendiri begitu menekankan kepentingan kemaafan sebagai amalan yang menyucikan hati dan mendekatkan umat.
Namun, di sebalik ungkapan itu, adakah kita benar-benar mengucapkan maaf dan memberi kemaafan dengan tulus atau sekadar melafazkannya sebagai satu kebiasaan yang diwarisi turun-temurun? Bagaimanakah caranya untuk menghidupkan suasana bermaafan mengikut sunnah?
Erti kemaafan dalam Islam
Bagi mendasari topik itu, Sinar Islam Plus menemu bual Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah.

Menurut perspektif Islam, jelas beliau, ungkapan ‘Maaf zahir dan batin‘ membawa maksud yang mendalam.
“Zahir merujuk kepada kesalahan yang dapat dilihat atau diketahui secara nyata seperti ucapan kasar, tindakan menyakitkan hati atau janji yang dimungkiri. Batin pula menggambarkan kesalahan yang tersembunyi seperti perasaan dengki, sangka buruk atau niat tidak baik.
“Kemaafan zahir mungkin mudah untuk dilafazkan kerana kesalahan itu tampak jelas. Namun, kemaafan batin lebih halus sifatnya, menyentuh hati dan perasaan yang sering kita abaikan. Kita mungkin tidak sedar bahawa wajah yang masam, kata-kata sinis diungkapkan atau pandangan rendah terhadap orang lain telah menanam luka yang mendalam.
“Maka jika kita hanya memohon maaf atas kesalahan yang zahir, tetapi tidak meneliti dosa-dosa batin yang tersembunyi, besar kemungkinan kemaafan yang kita pohon masih belum sempurna,” katanya.
Meskipun ucapan ‘Maaf zahir dan batin‘ acap kali dilafazkan berulang-ulang, ahli akademik itu mengingatkan agar kita tetap berwaspada apabila mengungkapkannya.
Tidak hairanlah apabila perkara itu dilakukan dalam keadaan kurang penghayatan, ia berisiko sekadar menjadi ritual budaya semata-mata iaitu tidak lebih daripada adat tahunan yang hilang rohnya dan tidak lagi menyentuh jiwa, ujarnya.
“Tambah menyedihkan apabila kita sering melihat situasi di mana seseorang memohon maaf pada pagi Syawal, namun tidak lama kemudian mengulangi kesilapan yang sama.
“Ada juga yang kononnya telah memaafkan, tetapi masih menyimpan rasa, malah mengungkit kembali kesalahan lama,” ungkapnya.

Kemaafan satu ibadah
Menyambung hujah, Ustazah Sharifah Fadylawaty menjelaskan, Islam mengajar bahawa kemaafan bukan sekadar formaliti tahunan atau adab sosial, sebaliknya ia adalah ibadah hati yang tinggi nilainya di sisi ALLAH SWT sebagaimana dijelaskan dalam ayat ke-22 surah an-Nur.
“Ayat itu menegaskan keampunan ALLAH kepada kita sangat berkait rapat dengan kesediaan kita memaafkan orang lain.
“Menerusi surah Ali ‘Imran ayat ke-135 dan 136 pula, ALLAH SWT menjanjikan syurga buat mereka yang segera bertaubat dan tidak mengulangi kesalahan dilakukan. Ini menunjukkan bahawa kemaafan bukan sekadar tindakan emosi, tetapi proses rohani yang membawa kita lebih hampir kepada reda Ilahi,” terangnya.
Beliau kemudiannya mengajak kita untuk mencontohi sifat Rasulullah SAW yang memberikan kemaafan bukan sahaja kepada para sahabat, tetapi juga musuh Islam yang menzalimi Baginda.
“Nabi Muhammad SAW tidak berdendam, sebaliknya memaafkan dengan jiwa yang lapang demi menyatukan hati dan membina kasih sayang sesama insan,” ujarnya.
Lantaran itu, pensyarah tersebut mengingatkan agar kita tidak melakukan amalan bermaaf-maafan secara sambil lewa ketika Aidilfitri. Sebaiknya, ia perlu lahir daripada keinsafan mendalam dengan niat tulus dan hati yang benar-benar ingin memulihkan hubungan retak.
“Ingatlah, Aidilfitri ialah hari kembali kepada fitrah iaitu hati yang suci, jiwa lapang dan semangat ukhuwah diperbaharui. Jangan biarkan ungkapan ‘Maaf zahir dan batin‘ hanya sekadar adat tahunan tanpa roh. Sebaiknya lafazkanlah ia dengan penuh kesedaran, rasa rendah diri dan keinginan untuk memperbaiki kesilapan lalu.

“Ini kerana apabila kemaafan diucapkan dengan keikhlasan, maka Aidilfitri akan benar-benar menjadi hari kemenangan, bukan hanya dari segi penampilan luaran, tetapi juga dalam penyucian jiwa,” ungkapnya.
Bagi menghidupkan sunnah bermaafan dalam erti kata sebenar ketika Syawal, beliau menjelaskan, kita perlu terlebih dahulu menghayati konsep kemaafan dalam Islam yang merupakan ibadah hati sebagaimana dijelaskan dan ia bukan sekadar permintaan atau pemberian.
“Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan adalah dengan merenung kesalahan diri sendiri, memahami makna zahir dan batin, melafazkan dengan ikhlas dan tenang serta memaafkan tanpa syarat.
“Paling penting, berazamlah untuk berubah dan tidak mengungkit serta tanamkan nilai kemaafan dalam keluarga,” titipnya.
ANEKDOT
Kaitan antara kemaafan dengan kebersihan hati dan keberkatan Aidilfiri
- Aidilfitri bukan sekadar perayaan selepas sebulan berpuasa. Ia adalah lambang kemenangan rohani dan hari kembali kepada fitrah iaitu diri yang suci, hati yang lembut dan jiwa yang bersedia memaafkan.
- Dalam erti kata lain, Aidilfitri mempertemukan kita dengan tiga elemen yang saling berkait dan menguatkan antara satu sama lain iaitu kemaafan, kebersihan hati dan keberkatan hidup:
1. Kemaafan merupakan langkah pertama menyucikan jiwa.
Kemaafan bukan sekadar tindakan mulia, ia adalah ibadah hati yang menyucikan jiwa. Dalam Islam, memaafkan adalah proses melepaskan beban emosi negatif seperti dendam, kemarahan dan rasa kecewa, bukan kerana kita lemah, tetapi kerana kita kuat untuk memilih reda ALLAH berbanding membalas dendam.
2. Kebersihan hati merupakan syarat turunnya rahmat.
Kemaafan yang ikhlas melahirkan kebersihan hati dan hati yang bersih adalah tempat turunnya rahmat dan kasih sayang ALLAH SWT. Rasulullah SAW mengajar kita agar tidur dalam keadaan memaafkan sesiapa sahaja yang menzalimi atau menyakiti kita kerana hati yang tidak memaafkan adalah hati yang terpenjara.
3. Keberkatan Aidilfitri ialah hadiah buat hati yang suci.
Bila kita melepaskan amarah, menyambung semula hubungan yang renggang dan memohon serta memberi kemaafan secara ikhlas, maka kita sebenarnya sedang mencipta ruang bagi turunnya rahmat dan keberkatan.
Hubungan keluarga menjadi lebih harmoni, masyarakat lebih bersatu dan kehidupan kita dipenuhi dengan ketenangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!