Tarif timbal balik: Pembangkang saran tangguh cukai, tubuhkan dana bantuan khas

SHAH ALAM - Kerajaan disaran melaksanakan penangguhan cukai dan menubuhkan satu dana bantuan khas berbentuk geran padanan atau pinjaman kewangan kepada pemain industri susulan pengumuman kadar tarif timbal balik sebanyak 24 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, cadangan itu merupakan antara langkah segera yang wajar dipertimbangkan oleh kerajaan.
Katanya, langkah itu bertujuan agar industri eksport tempatan termasuk industri pembuatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak gulung tikar atau terpaksa mengurangkan bilangan pekerja bagi menyesuaikan diri dengan kesan cabaran global mahupun domestik.
“Saya menyeru kerajaan untuk segera melindungi kepentingan dan meredakan kebimbangan pemain industri yang bakal terjejas teruk akibat kenaikan kos perniagaan serta kelembapan permintaan pasaran global berpunca daripada kenaikan tarif tersebut.
“Kerajaan juga mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk menyediakan insentif eksport yang lebih segar dan menarik kepada pemain industri bagi membolehkan mereka mencipta ruang, peluang dan keupayaan yang lebih baik untuk menerokai pasaran baharu dalam menangani dampak pelaksanaan tarif timbal balik berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
AS dilaporkan mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus ke atas import dari Malaysia dalam gelombang perang perdagangan global.
Presidennya, Donald Trump, pada Rabu mengumumkan gelombang tarif baharu yang belum pernah berlaku sebelum ini ke atas import dari semua negara yang berdagang dengan AS.
Mengulas lanjut, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau mengikuti dengan teliti perkembangan semasa berhubung pengumuman kadar tarif timbal balik berkenaan.
“Perkembangan ini adalah serius dan membimbangkan kerana ia mengheret ekonomi negara terjerumus ke dalam situasi tekanan ‘tiga serangkai’ akibat kesan global, cabaran dalaman dan dasar fiskal yang belum disesuaikan.
“Sebelum pelaksanaan peningkatan tarif timbal balik ini, nilai lebihan dagangan negara pada 2024 telah merosot kepada RM136.88 bilion berbanding RM214.10 bilion pada 2023 dan RM255.10 bilion pada 2022,” ujarnya.
Menurutnya, Standard & Poor’s (S&P) juga telah melaporkan bahawa Indeks Pengurus Pembelian atau Purchasing Managers’ Index (PMI) bagi sektor pembuatan negara mengalami penguncupan bagi tempoh 26 bulan daripada 27 bulan terakhir.
Selain itu, katanya, tekanan perniagaan dijangka lebih hebat apabila kenaikan tarif asas elektrik terhadap industri berkuat kuasa pada Julai 2025.
Justeru, Hamzah mengalu-alukan pendekatan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui platform Mesyuarat Khas Menteri Ekonomi ASEAN 2025 bagi merangka tindak balas yang selaras dalam kalangan negara ASEAN terhadap dasar baharu AS.
“Bagi memulihkan keyakinan rakyat serta pemain industri terhadap segala pendekatan yang akan diambil, saya menyeru kerajaan untuk bersikap jujur, terbuka dan berpijak di bumi nyata apabila berbicara dengan semua pihak berkenaan kesan ketidaktentuan ekonomi global hari ini.
“Kerajaan tidak boleh berselindung di sebalik angka-angka di atas kertas kerana penyelesaian kepada masalah rakyat dan negara bergantung kepada pelan tindakan yang berasaskan realiti, bukan ilusi,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

