Kerajaan Thailand jamin siasatan telus insiden runtuhan bangunan Jabatan Audit Negara

BANGKOK - Kerajaan Thailand memberi jaminan bahawa siasatan berhubung runtuhan bangunan Jabatan Audit Negara (SAO) akan dijalankan secara telus.
Menteri Kehakiman, Tawee Sodsong mengumumkan bahawa Jabatan Siasatan Khas (DSI) secara rasmi mengklasifikasikan insiden runtuhan bangunan Pejabat Ketua Audit Negara (OAG) sebagai kes khas.
Menurutnya, keputusan itu dibuat di bawah kuasa Ketua Pengarah DSI berdasarkan Akta Siasatan Kes Khas.
Beliau menegaskan bahawa tiada kebimbangan dalam mengendalikan kes ini, meskipun syarikat yang terlibat merupakan syarikat milik kerajaan China.
"Siasatan akan dijalankan dengan telus tanpa mengira siapa yang terlibat. Siasatan juga akan dilanjutkan kepada sekurang-kurangnya 10 projek lain yang diberikan kepada syarikat itu, selain semakan status jurutera asing yang bekerja di bawah visa pelajar,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jumaat lalu, tapak pembinaan ibu pejabat baharu Jabatan Audit Negara di Daerah Chatuchak, berhampiran Stesen Besar Bang Sue, runtuh susulan gegaran kuat akibat gempa bumi di Myanmar.
Tawee turut memaklumkan bahawa DSI akan menyiasat syarikat usaha sama asing lain di seluruh negara bagi mengenal pasti kewujudan struktur pemilikan penama (nominee) serta mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.
Beliau berkata, bukti yang dikumpulkan setakat ini menunjukkan syarikat yang terlibat dalam pembinaan itu mempunyai pemilikan penama.
Secara prinsip, syarikat asing yang melabur di Thailand mesti mengekalkan struktur pemilikan dengan 51 peratus pegangan oleh warga Thai dan 49 peratus oleh pihak asing.
"DSI mempunyai bukti kukuh bahawa syarikat ini beroperasi sebagai penama. Memandangkan jumlah kerugian melebihi 100 juta baht, kes ini memenuhi syarat sebagai siasatan khas,” katanya.
Selain itu, siasatan turut akan meneliti penggunaan bahan binaan berkualiti rendah yang tidak memenuhi piawaian Institut Piawaian Industri Thailand (TISI), amalan mengatur tender secara tidak sah, serta tahap keseluruhan kualiti pembinaan yang menjadi punca utama runtuhan.
DSI juga akan menjemput agensi luar, termasuk Jabatan Hasil Dalam Negeri dan Kementerian Perindustrian untuk turut serta dalam siasatan bagi memanfaatkan kepakaran mereka.
Sementara itu, Pusat Perubatan Kecemasan Bangkok, yang lebih dikenali sebagai Pusat Erawan melaporkan pada Rabu bahawa angka korban di ibu negara Thailand akibat insiden itu meningkat kepada 22 orang, dengan 34 lagi cedera manakala lebih 70 masih hilang.
Menurut pusat itu, kebanyakan kematian berlaku di lokasi runtuhan bangunan Jabatan Audit Negara di daerah Chatuchak, dengan 15 mayat ditemukan manakala lebih 70 orang masih hilang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
