Kebakaran saluran gas: ADUN Semenyih desak siasatan telus

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Nushi pada Selasa.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Nushi pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Siasatan yang telus serta tindakan undang-undang tanpa kompromi perlu dikenakan sekiranya benar berlaku pencerobohan oleh kontraktor ke atas rizab Petronas dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Puchong, pada Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz, berkata kejadian itu bukan sekadar isu teknikal semata-mata, sebaliknya satu bentuk kelalaian yang mengancam keselamatan rakyat serta mendedahkan kelemahan sistem kawal selia di peringkat pelaksanaan.

Menurutnya, bagi lokasi sebegini, setiap kerja pengorekan wajib disertakan dengan Analisis Keselamatan Kerja (Job Safety Analysis, JSA) yang lengkap, termasuk pemetaan paip, penilaian risiko serta kehadiran penyelia bertauliah.

“Jika tiada JSA atau pematuhan terhadap protokol keselamatan, ia bukan sekadar kecuaian kecil, sebaliknya satu pelanggaran serius terhadap tatacara kerja selamat dan boleh dianggap jenayah terhadap keselamatan awam.

“Sebagai wakil rakyat, saya tidak melihat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Puchong, sebagai isu tempatan semata-mata. Ini adalah isu keselamatan awam yang melibatkan infrastruktur strategik negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kebakaran saluran paip gas sepanjang kira-kira 500 meter di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, berlaku pada jam 8.10 pagi, mengakibatkan 305 penduduk terjejas, termasuk 67 individu yang mengalami kecederaan.

Sebanyak 237 premis turut terjejas, merangkumi 78 rumah penduduk dan 10 kedai yang terbakar, manakala 390 kenderaan mengalami kerosakan akibat panas atau terbakar.

Tambah Nushi, jaringan paip gas bertekanan tinggi sepanjang lebih 2,500 kilometer di Semenanjung Malaysia adalah nadi utama yang menghubungkan sumber tenaga kepada sektor industri, loji jana kuasa serta kawasan perumahan.

Jelasnya, berdasarkan data industri, sistem saluran paip merupakan antara kaedah penghantaran tenaga paling selamat di dunia, iaitu sekitar 100 hingga 1,000 kali lebih selamat berbanding pengangkutan darat atau rel, bergantung kepada jenis serta jarak penghantaran.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, apabila berlaku insiden seperti ini, persoalan utama bukan pada kelemahan sistem, tetapi kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) serta pelaksanaan kerja di lapangan.

“Setakat ini, seramai 145 mangsa dan 190 rumah terjejas. Tiada seorang pun daripada mereka bersalah, namun merekalah yang menanggung sengsara akibat kecuaian pihak lain.

“Kita tidak mampu kehilangan walau satu nyawa lagi hanya kerana kecuaian. Tragedi ini mesti menjadi titik perubahan, bukan sekadar satu lagi berita yang dilupakan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!