Mapim gesa siasatan rapi insiden kebakaran saluran gas Petronas

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa siasatan terperinci dijalankan segera berhubung insiden kebakaran saluran gas Petronas di Putra Heights sehingga mengakibatkan kecederaan dan kerosakan harta benda.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, siasatan menyeluruh penting bagi mengenal pasti punca kejadian dan memastikan langkah keselamatan dipertingkatkan agar tragedi sama tidak berulang.
"Keselamatan pekerja dan komuniti sekitar perlu menjadi keutamaan. Pihak berkuasa serta syarikat berkaitan perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya bagi menjamin kesejahteraan semua pihak," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mapim turut menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa serta mendoakan mereka yang cedera segera sembuh.
Sebagai badan kemanusiaan, Mapim menyatakan kesediaan untuk membantu mangsa dan keluarga yang terkesan.
“Kami menyeru semua pihak agar menunjukkan solidariti dan menyalurkan bantuan sewajarnya. Sebarang spekulasi perlu dielakkan bagi menghormati sensitiviti mangsa,” katanya.
Tambah beliau, insiden itu harus dijadikan pengajaran dan pemangkin kepada penambahbaikan sistem keselamatan dalam sektor tenaga negara.
“Keselamatan tidak boleh dikompromi. Langkah pencegahan komprehensif perlu dilaksanakan segera,” ujarnya.
Mapim akan terus mengikuti perkembangan kes berkenaan dan sedia bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan keadilan serta kebajikan mangsa terpelihara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!