Dua lagi remaja Singapura kena ISA

SINGAPURA – Singapura dikejutkan dengan penahanan dua lagi remaja di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Undang-undang, K Shanmugam ketika sidang media di Masjid Maarof pada Rabu menegaskan penduduk di negara itu perlu sentiasa berwaspada dengan kes ekstremisme dan radikalisme.
"Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) berjaya campur tangan untuk menghalang rancangan mereka setakat ini. Dua kes terbaharu ini amat membimbangkan. Orang sekeliling termasuk keluarga perlu beri perhatian dan sebarang aktiviti berkaitan radikalisme perlu dilaporkan.
"Kami akan menyiasat dan cuba membimbing individu yang mungkin sudah terpesong dengan ideologi sedemikian. Kami akan cuba menggunakan pelbagai cara untuk membantu dan menghalang tindakan yang boleh membahayakan diri mereka dan orang lain," ujarnya.
Difahamkan, salah seorang daripadanya adalah remaja perempuan berusia 15 tahun yang merupakan pentaasub Daesh dan mahu menyertai perjuangan kumpulan itu di Syria.
Dia menjadi gadis pertama dan individu kedua paling muda dikenakan tindakan ISA.
Seorang lagi adalah remaja berumur 17 tahun yang didakwa berhubungan secara dalam talian dengan Nick Lee Xing, 18, yang ditahan pada Disember lalu selepas dia terjebak dengan ideologi ganas haluan kanan.
ISD dalam satu kenyataan memaklumkan remaja itu yang dikenali sebagai 'ekstremis Asia Timur' dan merancang untuk melancarkan serangan berdarah ke atas beberapa masjid di Singapura.
Julukan itu diberikan kerana dia percaya etnik Cina Han, Korea dan Jepun adalah lebih hebat berbanding kaum Melayu serta India.
"Radikalisasi boleh berlaku dalam waktu singkat. Sebagai contoh, remaja perempuan berumur 15 tahun itu terjerat dengan ideologi tersebut hanya dalam tempoh beberapa minggu," jelas ISD lagi.
Sejak 2015, seramai 17 remaja berusia di bawah 20 tahun yang terjerumus dalam ekstremisme dalam talian dikenakan tindakan ISA. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

