Tapak baharu kuil digazet ikut undang-undang - Gobind

GOBIND
GOBIND
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tapak baharu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, di sini, akan digazetkan mengikut undang-undang atas nama jawatankuasa kuil.

Menteri Digital merangkap Pengerusi DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo berkata, terdapat tapak baharu bersesuaian untuk kuil yang telah dipersetujui pada petang Isnin.

"Tapak baharu tersebut seluas 4,000 kaki persegi dan terletak kurang dari 100 meter dari lokasi sedia ada kuil tersebut.

"Tanah tersebut akan digazetkan atas nama jawatankuasa kuil, mengikut undang-undang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Gobind memaklumkan, isu membabitkan kuil tersebut akhirnya berjaya diselesaikan dengan baik melalui kerjasama semua pihak terlibat.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan perkembangan terkini mengenai isu kuil selepas menerima permintaan jawatankuasa kuil membantu kes itu kira-kira sebulan setengah lepas.

Gobind menambah, beliau menghargai bantuan pelbagai pihak termasuklah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran yang membantu mencari jalan penyelesaian.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dalam perkara ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, media melaporkan isu berhubung tapak kuil itu akhirnya selesai apabila pihak pengurusan kuil berkenaan bersetuju untuk rumah ibadat berkenaan dipindahkan ke lokasi baharu.

Dr Zaliha berkata, kerajaan telah mengenal pasti tapak baharu berkeluasan 4,000 kaki persegi, bagi tujuan penempatan semula kuil berkenaan hasil rundingan antara pelbagai pihak termasuk pengurusan kuil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!