Lelaki maut dilibas pesakit mental

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TANJUNG MALIM - Seorang jurupendawaian elektrik maut dilibas dengan parang oleh seorang lelaki dipercayai pesakit mental di Jalan Malim 6, Taman Malim di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 9 pagi itu, mangsa, G Subaramaniam, 34, ditemui dengan kesan luka di bawah telinga kirinya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintendan Koo Tai Chew berkata, pihaknya berjaya menahan suspek berusia 57 tahun dan merampas sebilah parang sepanjang 76 sentimeter (cm).

Menurutnya, suspek mengakui telah memukul mangsa dengan menggunakan senjata itu kerana mangsa merenungnya semasa mereka berada di tepi jalan.

Tai Chew
Tai Chew

"Selepas dilibas parang, mangsa rebah di tempat kejadian dan suspek pula pergi ke bengkel berhampiran sebelum bertindak memecahkan cermin kereta, peti surat dan pasu bunga.

"Suspek kemudiannya balik ke rumah untuk menukar pakaian sebelum keluar semula untuk menghisap dadah jenis ais dan kembali melihat mangsa di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tai Chew berkata, mangsa dipercayai masih lagi hidup ketika suspek kembali 'menjenguknya' di lokasi yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa terbaring atas rumput dan masih bernafas tetapi tidak bangun. Suspek balik rumah untuk mengambil sebaldi air.

"Bagaimanapun, sekembalinya suspek mendapati mangsa telah berada di dalam longkang dan suspek bertindak mencurah air dengan harapan mangsa akan bangun," katanya.

Katanya, hasil keterangan ahli keluarganya, suspek yang mempunyai 14 rekod jenayah pernah dipenjarakan atas kesalahan dadah dan menerima rawatan di Hospital Slim River sejak tiga tahun lalu.

"Namun sudah lebih kurang setahun suspek tidak mengambil ubat penenang kerana merasakan tiada ubat yang dapat menyembuhkan penyakitnya.

"Suspek sering keluar rumah membawa parang, kayu atau buluh dan memarahi orang tanpa sebab serta mengejar orang yang melihat atau merenungnya," katanya.

Katanya, bedah siasat mangsa akan dijalankan hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.