Lelaki ada masalah mental tikam perut, tarik usus sendiri

Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang lelaki terbaring di tepi parit selepas menikam diri sendiri di hadapan sebuah restoran di Taman Suria, Johor Bahru pada malam Khamis.
Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang lelaki terbaring di tepi parit selepas menikam diri sendiri di hadapan sebuah restoran di Taman Suria, Johor Bahru pada malam Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki mengelar leher dan menikam perutnya sendiri menggunakan pisau dalam sebatang parit di hadapan sebuah restoran di Taman Suria di sini pada malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berkenaan berlaku pada jam 10.53 malam melibatkan lelaki berusia 32 tahun itu dipercayai mengalami masalah mental.

"Pihak polis menerima maklumat berhubung video kejadian berdurasi 52 saat yang tular dalam media sosial pada jam 9.02 pagi tadi.

"Lelaki ini kemudian dirujuk ke doktor psikiatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Ahad.

Berdasarkan video yang tular itu, kelihatan lelaki itu menarik keluar ususnya dalam keadaan lemah dan sudah terbaring di tepi jalan.

Mengulas lanjut, Raub berkata, hasil siasatan polis dan pemeriksaan doktor HSA yang merawat lelaki berkenaan mengesyaki kejadian berlaku kerana dia dalam keadaan tidak stabil.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian jenayah boleh terus menghubungi talian Hotline Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Selatan bernombor 07-2182323.