Resipi cendol enam dekad

Mohan menunjukkan cendol campur menjadi kegemaran orang ramai.
Mohan menunjukkan cendol campur menjadi kegemaran orang ramai.
A
A
A

SEREMBAN - Siapa sangka perniagaan cendol diusahakan pasangan suami isteri di Pasar Besar Seremban di sini sudah berusia enam dekad.

Perniagaan itu diwarisi Mohan T Kadeer Mohaideen, 60, daripada bapanya yang sebelum itu berniaga pencuci mulut di bandar itu dengan menaiki basikal sejak 1960-an.

Malah, resipi rahsia turun-temurun daripada bapanya termasuk penggunaan tiga jenis gula masih dikekalkan hingga kini.

Ia termasuk masih menggunakan kaedah lama menyagat ais berbanding kebanyakan peniaga cendol lain yang menggunakan mesin kisar elektrik.

Menurut bapa kepada dua anak itu, bapa membesarkannya bersama lima beradik lain dengan menjual cendol.

“Sewaktu zaman kanak-kanak, saya selalu ikut bapa menjual cendol dan waktu itu harganya hanya 20 sen.

“Kemudian sejak 30 tahun lalu, saya mengambil alih kerana ayah sudah tidak kuat dan saya mula berniaga menggunakan kereta tolak,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohan menggunakan lori berbanding motosikal bagi memudahkan pergerakan.
Mohan menggunakan lori berbanding motosikal bagi memudahkan pergerakan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, sejak September 2020, dia dan isteri, M Anjaly, 59, mula berniaga menggunakan lori.

Ujarnya, kedainya dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 4 petang dan ditutup pada Selasa.

“Resipi saya gunakan sama seperti diajar ayah iaitu perlu ada campuran tiga jenis gula seperti gula enau, melaka dan merah.

“Saya tidak ubah apa-apa pun kerana mahu mengekalkan rasanya, selain resipi rahsia iaitu isi cendol dibuat sendiri,” katanya.

Mohan berkata, disebabkan itulah pelanggan bapanya kini menjadi pelanggannya pula kerana mereka masih menikmati rasa cendol yang sama.

Tambahnya, setiap hari lebih 300 mangkuk atau bungkusan cendol dijual menggunakan tujuh hingga 10 kilogram santan.

“Jika pelanggan tidak ramai, saya menggunakan konsep menyagat ais sendiri kerana lebih selesa berbanding menggunakan mesin pengisar.

“Ada empat jenis cendol iaitu biasa, kacang, jagung dan campur dijual pada harga RM2.20 hingga RM3.50,” katanya.

Menurut Mohan, kebanyakan pelanggan gemar membeli cendol biasa kerana mereka ingin merasai keaslian cendol tanpa sebarang perisa tam-bahan lain.

Selain itu katanya, pelanggannya terdiri daripada semua kaum dan menjadi satu kebiasaan saling bertegur sapa antara satu sama lain sambil menikmati cendol.

Dalam pada itu, pelanggan, Nur Azura Ramli, 35, berkata setiap kali membeli barangan di Pasar Seremban, dia akan singgah untuk menikmati cendol di situ.

“Bagi saya, ia menggamit nostalgia kerana ketika sekolah dulu pun ayah sering membawa saya makan cendol di sini.

“Bagi saya, cendol ini mempunyai rasa tersendiri dan harganya juga murah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!