Ada yang takut dilabel sebagai gila, tak waras



PUTRAJAYA - “Saya bukan gila untuk berjumpa kaunselor.”
Itulah stigma yang masih membelenggu masyarakat mengenai perkhidmatan kaunseling.
Namun, bagi Noor Amira Mohamed Yatim, seorang kaunselor yang berkhidmat di Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) di bawah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) sejak 2021, kepercayaan masyarakat terhadap khidmat kaunseling kini semakin meningkat.
Meskipun begitu, perjalanannya sebagai kaunselor bukanlah mudah apabila berdepan dengan masalah keganasan rumah tangga, kesihatan mental, penyalahgunaan dadah dan penderaan seksual yang memerlukan bukan sahaja ilmu, tetapi ketahanan emosi yang tinggi.
Menurut Noor Amira, ramai yang masih takut mendapatkan bantuan kerana bimbang dilabel sebagai tidak waras atau gila.
“Namun, kini keadaan semakin berubah dengan kesedaran yang meningkat, walaupun cabaran tetap ada,” katanya.
Kongsi masalah bukan perkara memalukan
Beliau menjelaskan bahawa tugas utama seorang kaunselor adalah meyakinkan klien bahawa berkongsi masalah bukanlah sesuatu yang memalukan.
“Masyarakat sering beranggapan bahawa menceritakan masalah peribadi sama seperti membuka aib. Ini adalah salah faham yang perlu diperbetulkan,” jelasnya.
“Antara cabaran terbesar dalam tugasnya adalah membantu mangsa keganasan rumah tangga.
“Ramai isteri yang didera enggan melaporkan kejadian kerana bimbang suami bertindak lebih ganas atau kerana mereka tidak mempunyai sumber pendapatan sendiri.
“Kadang-kadang mereka berkata, saya takut nak buat laporan, nanti suami saya akan cari saya.
“Sebagai kaunselor, saya perlu memberi mereka keyakinan dan bimbingan mengenai langkah seterusnya,” katanya.
Menurutnya, selain keganasan rumah tangga, tekanan di tempat kerja juga menjadi isu yang semakin ketara.
Noor Amira, yang merupakan graduan Sarjana Muda Kaunseling dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), berkata, ramai pekerja mengalami keletihan tetapi tidak tahu cara untuk menanganinya.
“Ada yang datang dalam keadaan sangat tertekan, berasa gagal dan tidak dihargai. Akhirnya, mereka membawa masalah kerja ke rumah.
“Seorang kaunselor memainkan peranan dalam membantu mereka menguruskan tekanan melalui terapi relaksasi dan strategi kawalan emosi,” kata beliau.
Menurutnya, isu lain yang sering dikendalikan oleh beliau ialah bekas penagih dadah yang mahu berubah tetapi terpaksa berdepan dengan diskriminasi.
Manakala, kes yang paling memberi kesan kepadanya ialah seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang dirogol oleh bapanya sendiri sehingga mengalami trauma yang berpanjangan.
“Dia mengalami trauma teruk, tidak mahu bercakap dan sering menangis.
“Dalam sesi pertama, dia hanya diam. Hanya selepas beberapa sesi menggunakan terapi permainan, dia mula memberi isyarat tentang apa yang berlaku kepadanya,” katanya.
Tambah Noor Amira, kanak- kanak itu akhirnya mendedahkan bahawa dia telah menjadi mangsa sejak berusia enam tahun.
Dalam situasi berlainan, Noor Amira menjelaskan, dia pernah mengendalikan satu kes melibatkan seorang lelaki mengalami gangguan seksual daripada bosnya sendiri.
Jelasnya, lelaki itu malu untuk melaporkan kejadian kerana beranggapan hanya wanita yang menjadi mangsa.
“Kami bantu dia membuat laporan polis dan merujuk kesnya ke Tribunal Anti Gangguan Seksual.
“Dalam situasi ini, lelaki juga berhak mendapatkan perlindungan dan bantuan,” katanya.
Belajar tidak beri kesan pada emosi sendiri
Menurut Noor Amira, kaunselor perlu menguruskan tekanan mereka sendiri agar tidak terbeban dengan masalah klien.
“Kami diajar untuk tidak membawa masalah klien ke dalam kehidupan peribadi. Selepas sesi, saya perlu ‘lupuskan’ sedikit demi sedikit supaya tidak terbawa-bawa dalam fikiran,” katanya.
Bagaimanapun, Noor Amira mengakui ada ketika dia sendiri berasa terkesan.
“Sebagai manusia, saya juga ada had. Ada kes yang begitu menyayat hati sehingga saya perlu mengambil masa untuk bertenang sebelum meneruskan sesi lain,” tambahnya.
Meskipun berdepan cabaran besar, Noor Amira tetap merasa puas dengan pekerjaannya, terutamanya apabila melihat perubahan positif dalam diri kliennya.
“Saya tidak kaya, tetapi saya gembira kerana dapat membantu orang lain. Apabila klien datang dan mengucapkan terima kasih kerana hidup mereka berubah, itu sudah cukup memberi kepuasan,” katanya.
Menurutnya, kaunselor bukan sekadar memberi nasihat, tetapi membantu klien membina semula kehidupan mereka.
“Kami bukan hanya mendengar, tetapi berusaha mencari penyelesaian terbaik bersama mereka,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

