DBKL rehatkan sementara tiga penguat kuasa dipercayai kasari 'Abang Belon'

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah merehatkan sementara tiga anggota penguat kuasa yang dipercayai terlibat mengasari peniaga tidak berlesen di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), di sini pada Jumaat. Gambar kecil: Maimunah.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah merehatkan sementara tiga anggota penguat kuasa yang dipercayai terlibat mengasari peniaga tidak berlesen di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), di sini pada Jumaat. Gambar kecil: Maimunah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah merehatkan sementara tiga anggota penguat kuasa yang dipercayai terlibat mengasari peniaga tidak berlesen di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), di sini pada Jumaat.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif memaklumkan, tindakan itu diambil bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman DBKL serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar dapat dijalankan secara bebas, telus serta menyeluruh tanpa sebarang campur tangan.

Menurutnya, keputusan itu turut dibincang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

"DBKL memandang serius kejadian ini dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku warga kerja, sekiranya dibuktikan bersalah terutama yang menjejaskan integriti dan kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan.

"DBKL kekal berprinsip untuk menegakkan tadbir urus yang berintegriti, bertanggungjawab dan berteraskan prinsip keadilan kepada semua pihak. Sebarang keputusan akan ditentukan setelah siasatan penuh selesai.

"Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Eksekutif (Sosio Ekonomi) dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan juga telah mewakili DBKL menziarahi peniaga belon, Muhamad Za’imuddin Azlan yang kini sedang menerima rawatan di hospital," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, tular beberapa rakaman video memaparkan insiden kekecohan selepas berlaku perselisihan antara penguat kuasa DBKL dan penjual barangan tanpa lesen.

Rakaman video yang dipercayai diambil peniaga sekitar lokasi itu mulanya menunjukkan beberapa anggota penguat kuasa DBKL sedang merampas belon yang dijual seorang individu, namun suasana bertukar menjadi kecoh selepas peniaga dipercayai tidak memberi kerjasama.

Mengulas lanjut, Maimunah berkata, DBKL turut akan mempertimbangkan untuk menanggung kos rawatan peniaga belon terbabit sepanjang tempoh rawatan.

Artikel Berkaitan:

"Ia tertakluk kepada semakan lanjut dan keperluan perubatan semasa. Kami menyeru agar semua pihak mengelak dari membuat spekulasi, bagi membolehkan pihak berwajib menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!