'Tidak letak tanda harga pada santan, tomato' - KPDN

Tidak letak tanda harga pada tomato antara kesalahan yang dikesan menerusi operasi SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2025. Gambar kecil: Azman
Tidak letak tanda harga pada tomato antara kesalahan yang dikesan menerusi operasi SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2025. Gambar kecil: Azman
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak letak tanda harga pada santan dan tomato antara kesalahan yang dikesan menerusi operasi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2025.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, sejak pelaksanaan SHMMP bermula 24 Mac, sebanyak 2,999 premis merangkumi pengeluar, pemborong dan peruncit diperiksa setakat Khamis.

Menurutnya, hasil pemeriksaan merekodkan 227 kes dengan nilai rampasan RM9,283.04 termasuk dua kes menjual melebihi daripada harga yang ditetapkan.

"Kes tertinggi direkodkan di Johor dengan 55 kes, Selangor (47 kes) dan Pulau Pinang (37 kes).

"Lain-lain kes melibatkan kegagalan guna tanda harga dan tidak meletakkan tanda harga ke atas santan dan tomato. Kes santan berlaku di Pulau Pinang dan kes tomato di Selangor," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, KPDN menerusi elemen penguatkuasaan akan terus memantau sepanjang musim perayaan ini.

Tegasnya, Bilik Arahan Penguatkuasaan dibuka setiap hari dan KPDN amat menghargai peniaga yang mematuhi undang-undang.

Di bawah SHMMP Aidilfitri 2025 yang dikuat kuasa bermula 24 Mac hingga 7 April, sebanyak 26 jenis barangan diletakkan di bawah kawalan, meningkat daripada 22 jenis tahun lepas.

Empat barangan baharu yang ditambah ialah bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (ros), lobak merah dan santan.

Artikel Berkaitan:

Senarai barangan lain termasuk daging kerbau import, ikan kembung, sawi hijau, cili merah, bawang putih, ubi kentang import, halia tua import serta kelapa parut dan biji.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!