Beras putih tempatan mungkin 'hilang' lagi - Syed Abu Hussin

TAIPING - Beras putih tempatan (BPT) dijangka berdepan masalah kekurangan dalam pasaran dalam tempoh enam bulan akan datang sekiranya tiada langkah penyelesaian jangka panjang diambil segera.
Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, isu utama yang menyebabkan BPT sukar diperoleh ialah harga beras import yang masih tinggi walaupun harga semasa sudah turun.
Menurutnya, selagi harga beras import tidak diturunkan dan dikawal agar setara dengan harga beras tempatan, masalah tersebut tidak akan selesai.
"Kerajaan telah menyediakan subsidi RM150 juta dengan peruntukan sebanyak 24 juta pek beras tempatan, tetapi itu hanya penyelesaian sementara. Jika pek ini habis, apa yang akan terjadi seterusnya?
"Saya sudah mencadangkan penyelesaian sejak tahun lepas iaitu kawal harga beras import dan tetapkan pada satu harga," katanya.
Beliau ditemui sempena Program Jualan Termurah Madani Parlimen Bukit Gantang di Pejabat Ahli Parlimen Bukit Gantang, di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, penyelesaian lebih berkesan adalah dengan mengawal harga dan menetapkan satu harga tetap bagi beras tempatan dan import.
Dalam perkembangan sama, Syed Abu Hussin mendedahkan terdapat kedai runcit enggan menjual BPT kerana keuntungan yang terlalu kecil berbanding BPI.
Menurutnya, peruncit hanya mendapat keuntungan sekitar 50 sen bagi setiap pek BPT, sedangkan beras import memberikan margin lebih tinggi.
Beliau turut menggesa pihak berwajib menstrukturkan semula harga beras tempatan agar lebih adil dan menguntungkan semua pihak termasuk pengilang, pemborong dan peruncit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

