Bekalan beras putih tempatan sudah ada dalam pasaran - Mat Sabu

Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil langkah penyelesaian sementara bagi memastikan bekalan beras tempatan mencukupi untuk pengguna.
"Bekalan beras tempatan sudah berada dalam pasaran dan terkawal mengikut jadual.
"Masalah bekalan makanan di dunia ini tidak akan selesai sampai bila-bila, tetapi ini adalah penyelesaian sementara yang kita laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis iftar bersama warga KPKM Inc di sini pada Khamis.
Pada 1 Mac lepas, KPKM memaklumkan Pasukan Petugas Khas Bersepadu Operasi BPT mendapati punca kekurangan bekalan disebabkan oleh masalah struktur harga belian padi, kos pengeluaran dan harga siling BPT.
Selain itu, kementerian berkenaan memaklumkan ia juga disebabkan oleh tiada peruntukan khusus mengenai larangan percampuran beras dalam Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
Pada 3 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan KPKM untuk menyegerakan usaha pemulihan bekalan BPT di pasaran.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah dilapor berkata Perdana Menteri juga mengarahkan KPKM supaya memaklumkan perkembangan berkaitan pemulihan bekalan BPT secara berkala kepada rakyat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
