Malaysia dan isu darurat politik

A
A
A

POLITIK di Malaysia ialah politik angka yang memungkinkan ‘tidak ada lawan atau kawan yang tetap tetapi kepentingan’. Sejak 21 Februari 2020 sehingga hari ini, kita disogok dengan pelbagai spekulasi, ramalan dan andaian ‘Siapa PM?’, ‘Bubarkah Parlimen’? atau ‘Bosanlah tak habis-habis dengan politik ke?’Kegelisahan, keresahan dan kebimbangan rakyat amat terasa sehingga ada yang khuatir ia akan berakhir dengan insiden yang tidak diingini.

Adakah Malaysia sedang berhadapan dengan suasana ‘Darurat Politik’ yang berlaku dengan senyap tetapi masing-masing jiwanya bergelora kerana tindakan mengejut yang membawa kepada jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat pusat.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah juga menitahkan masjid di negeri itu mengadakan solat hajat untuk menyelesaikan kemelut politik negara serta Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu diberi kebijaksanaan dalam membuat keputusan terbaik untuk rakyat dan negara.

Bermula dengan mesyuarat tergempar pada 23 Februari 2020, beberapa parti seperti Bersatu, PKR kem Datuk Seri Azmin Ali, UMNO dan Pas serta GPS, GBS dan Warisan; kemuncaknya berakhir dengan majlis makan malam di Hotel Sheraton Petaling Jaya.

Adakah kesukaran Tun Dr Mahathir Mohamad meyakinkan anggota MKT Bersatu untuk menangguhkan pendirian mereka yang secara konsensus membuat keputusan keluar PH membawa kepada keadaan ini? Dr Mahathir juga melepaskan jawatan Pengerusi Bersatu pada hari berikutnya. Atau Mesyuarat 21 Februari 2020 yang hangat dalam mencari titik menang-menang dalam pelan peralihan menjadi punca keretakan kepercayaan dalam kalangan anggota gabungan besar PH.

Malahan, keluarnya 11 ahli Parlimen kem Azmin daripada PKR merumitkan kedudukan PH untuk terus kekal berkuasa serta Bersatu sendiri. Dengan keluarnya Bersatu dan 11 ahli Parlimen kem Azmin, maka 24 Februari melihat berakhirnya 22 bulan pemerintahan kerajaan PH. Perdana Menteri turut meletakkan jawatan kerana sudah tidak memiliki majoriti di Parlimen.

Dari jam 1 tengah hari sehingga jam 6 petang hari yang sama, Malaysia tidak mempunyai seorang Perdana Menteri ataupun Kabinet sehingga Yang di-Pertuan Agong melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim. Ini juga sejarah baharu kerana tidak ada peruntukan di bawah Perlembagaan untuk lantikan seperti ini.

Dr Mahathir mencadangkan ‘kerajaan perpaduan atau rekonsilasi’ untuk membolehkan kerajaan yang bebas politik ditubuhkan walaupun ia akan dilihat bertentangan dengan sistem demokrasi berparlimen serta mandat rakyat 2018.

Artikel Berkaitan:

Malahan, semak dan imbang pembangkang akan terhakis dalam amalan ini namun ia barang kali formula atau tawaran ‘sementara’ untuk memulihkan keadaan di Malaysia. Kerajaan Perpaduan pernah juga dicadangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada tahun 2008, sebagaimana oleh Lim Kit Siang dengan terma rekonsiliasi nasional selepas keputusan PRU 2013 yang dipersoal oleh Pakatan Rakyat (PR) ketika itu.

Apakah tawaran ini mirip kepada pemikiran kedua-dua pemimpin ini dan apakah ia akan diteruskan jika Perdana Menteri kelapan adalah bukan Dr Mahathir?

Masa depan negara seolah-olah diputuskan oleh elit politik sedangkan mandat terbaik adalah daripada rakyat, maka kerajaan rekonsiliasi ini perlu menghentikan persengketaan atau permusuhan politik (jika ditubuhkan).

Darurat politik (terma saya guna pakai akibat ketegangan politik) ini yang bermula dengan gerakan penubuhan Perikatan Nasional sehingga ke Kerajaan Perpaduan dan diharap akan berakhir selepas keputusan daripada pihak Yang di-Pertuan Agong akan menjadi sumber baharu dalam lipatan sejarah kepimpinan tanah air.

Perpecahan dalaman akan berterusan. Siapakah yang akan melompat parti selepas ini atas nama ‘untuk negara dan bangsa’. Kerakusan berkuasa dengan pangkat dan kedudukan serta pertikaman dalaman atas nama ‘merakyatkan kepimpinan’ wajar disemak semula kerana yang rakyat mahukan adalah integriti dalam politik. Darurat politik tidak boleh diwujudkan untuk kepentingan pihak tertentu memenuhi agenda sendiri dan bukan warganya.

*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia