Nahas pesawat Double Six tidak ada unsur sabotaj

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

SHAH ALAM - Laporan lengkap siasatan akhir kemalangan udara pesawat Sabah Air Nomad N-22B 9M-ATZ mendedahkan tidak wujud unsur sabotaj dalam nahas yang berlaku pada 6 Jun 1976 itu.

Laporan tersebut turut memaklumkan, tiada bukti yang boleh mengaitkan insiden berkenaan dengan kerosakan awal pada enjin atau kerana pesawat tidak menjalani proses penyelenggaraan dengan sebaiknya.

Bahkan, pesawat berkenaan juga telah diselenggara dengan baik mengikut jadual penyelenggaraan yang ditetapkan.

Laporan yang disiapkan pada Januari 1977 itu turut menyatakan punca nahas yang berlaku pada 47 tahun lalu adalah disebabkan pesawat hilang kawalan sewaktu juruterbang mahu mendaratkan pesawat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dokumen lengkap siasatan akhir itu kini boleh diakses menerusi laman web rasmi Kementerian Pengangkutan (MOT).

Beliau memberitahu, laporan akhir insiden yang dikenali sebagai Double Six itu telah dikelaskan semula sebagai dokumen terbuka dengan menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Susulan daripada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 April lalu berkenaan laporan siasatan Double-Six Tragedy, saya mengumumkan bahawa proses untuk menyahklasifikasi laporan tersebut telah selesai pada 6 April 2023.

“Mulai hari ini, laporan lengkap tersebut dapat dimuat turun daripada laman web rasmi MOT di https://www.mot.gov.my/en/aviation/reports/n22b-nomad,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Anwar memaklumkan, laporan siasatan akhir berhubung insiden pesawat Sabah Air yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu Tun Fuad Stephens, empat menteri Sabah dan enam yang lain, pada 47 tahun lalu diturun taraf dan dinyahklasifikasi.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri selepas mengambil kira pandangan yang dikemukakan rakyat Sabah dan tuntutan dibuat waris insiden tersebut.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, laporan siasatan akhir kemalangan udara Nomad N22B 9M-ATZ disiapkan pada 25 Januari 1977 dan kemudian dibentangkan ke jemaah menteri pada Mac tahun yang sama.

“Namun begitu, hasil siasatan laporan tersebut tidak pernah diumumkan.

“Oleh demikian, selama hampir 47 tahun ahli keluarga mangsa-mangsa yang terlibat tidak dapat mengetahui fakta dan sebab di sebalik nahas kemalangan udara tersebut,” jelasnya.

Kapal terbang yang dikendalikan oleh Sabah Air dalam perjalanan dari Labuan terhempas di daerah Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Selain Tun Fuad, turut terkorban anak sulungnya, Johari Stephens, 9; pengawal peribadi, Koperal Said Mohammad; Menteri, Datuk Salleh Sulong, Datuk Peter Mojuntin, Chong Thien Vun dan pembantu menteri, Darius Binion.