'Tidak ada orang berani aniaya OKU lagi'

Ras Adiba (duduk) ketika sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada Rabu. - FOTO: RAFEQ REDZUAN
Ras Adiba (duduk) ketika sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada Rabu. - FOTO: RAFEQ REDZUAN
A
A
A

KUALA LUMPUR – "Selepas ini tidak akan ada orang yang berani menganiaya orang kurang upaya (OKU) terutama kepada anak-anak yang tidak boleh bersuara, saya ucap terima kasih kepada mahkamah kerana mendengar hujah dengan baik," kata Presiden OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi.

Beliau berkata, kemenangan yang memihak kepada adik Bella adalah kemenangan untuk semua OKU di negara ini yang pernah ditindas dan dianiaya.

“Selepas ini masyarakat akan jadi mata dan telinga kami agar OKU tidak dianiaya seperti adik Bella.

“Ini adalah sejarah seorang yang mendera OKU dibawa ke mahkamah dan dijatuhi hukuman setimpal,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada Rabu.

Bekas personaliti televisyen itu turut mengucapkan terima kasih kepada barisan peguam dan dan pasukan #justiceforbella yang banyak berkorban masa untuk memperjuang isu berkenaan di mahkamah sehingga berjaya.

“Terima kasih juga kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam kerana mempercayai misi pasukan #justiceforbella di belakang saya.

“Ini bukan pengakhiran tetapi permulaan kerana saya terus akan memperjuangkan suara OKU untuk pastikan kami tidak dianiaya sesuka hati.

“Kepada agensi kerajaan terlibat ini bukan sesuatu yang senang kita pelajari apa yang berlaku untuk pastikan sejarah tidak berulang lagi,” tegasnya.

Beliau dalam pada itu turut merayu kepada masyarakat supaya bersedia melaporkan kepada pihak berkuasa jika tahu atau mendengar mengenai kes penderaan, penganiayaan membabitkan golongan itu.

“Kalau kita tidak menjadi mata dan telinga mereka siapa lagi kerana kebanyakan daripada kami tidak dapat menyuarakan apa yang sedang berlaku kerana mungkin tertekan dengan keadaan di sekeliling kami,” katanya.

Pada Rabu pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dijatuhi hukuman penjara 12 tahun atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja sindrom Down dikenali Bella dua tahun lalu.

Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati Siti Bainun gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagi kesalahan pertama iaitu mengabaikan Bella, dia dihukum penjara 10 tahun manakala pertuduhan kedua, menganiaya sebanyak 12 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN:Siti Bainun diperintah ke Penjara Kajang hari ini

ARTIKEL BERKAITAN:Siti Bainun wajar dipenjara hari ini - Pendakwaan

ARTIKEL BERKAITAN:Siti Bainun mohon hukuman jel 12 tahun ditangguh

ARTIKEL BERKAITAN:Lapan alasan hakim jatuh hukuman penjara 12 tahun ke atas Siti Bainun

ARTIKEL BERKAITAN:Siti Bainun dihukum penjara 12 tahun

ARTIKEL BERKAITAN:Pertimbang saiz badan Siti Bainun sebelum jatuh hukum - Peguam

ARTIKEL BERKAITAN:Siti Bainun sudah insaf, rayu hukuman ringan - Peguam

ARTIKEL BERKAITAN:Pendakwaan mohon Siti Bainun dikenakan hukuman berat

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Bainun didapati bersalah abai, aniaya Bella

ARTIKEL BERKAITAN:[VIDEO] Kes Bella: Nasib Siti Bainun akan diketahui hari ini

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!