Laluan sehala Pekan Tapah ditambah baik demi keselesaan

TAPAH - Penambahbaikan sistem laluan sehala di Pekan Tapah yang akan dilaksanakan kerajaan secara berfasa bagi meningkatkan kelancaran aliran trafik demi keselesaan rakyat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif berkenaan merupakan langkah jangka panjang yang dirangka berdasarkan kajian menyeluruh bersama agensi berkaitan.
Menurutnya, pelaksanaan penambahbaikan tersebut akan dilakukan dalam dua fasa utama, dengan fasa pertama melibatkan kerja-kerja penambahbaikan laluan sehala sedia ada bermula 7 hingga 30 April 2025.
"Masalah kesesakan lalu lintas di Tapah sudah berlarutan sejak sekian lama, terutamanya pada musim perayaan, cuti sekolah, hujung minggu serta waktu puncak.
"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak boleh membiarkan masalah ini berterusan tanpa penyelesaian konkrit. Maka, pelaksanaan sistem penyuraian trafik ini adalah perlu,” katanya dalam sidang media di Pejabat Menteri Besar di sini pada Jumaat.
Saarani berkata, fasa pertama yang menelan kos RM2.2 juta itu akan melibatkan turapan semula jalan, pembinaan pembahagi jalan, pemasangan papan tanda, garisan baharu serta pembukaan laluan ke Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melalui Jalan Tapah Road.
Jelasnya, bagi fasa kedua pula melibatkan pembinaan jalan baharu iaitu laluan pintas yang dijangka bermula tahun ini dengan kos sebanyak RM17 juta melalui peruntukan pembangunan negeri.
Menurutnya, laluan sepanjang 300 meter ini akan berfungsi sebagai laluan alternatif bagi pengguna dari Cameron Highlands ke Kampar dan Bidor tanpa perlu melalui Pekan Tapah.
"Segala usaha ini bukan bertujuan menyulitkan rakyat, sebaliknya dilaksanakan berdasarkan kajian menyeluruh sebagai perancangan jangka panjang demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat, khususnya di Tapah untuk tahun-tahun akan datang.
"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak boleh membiarkan masalah ini berterusan tanpa penyelesaian konkrit. Pembangunan memerlukan pengorbanan dan kita perlu berani membuat perubahan demi kebaikan bersama," ujarnya.
Sementara itu, Saarani yakin apabila kedua-dua fasa ini siap kelak, aliran trafik akan menjadi lebih lancar selain urusan perniagaan, pergerakan pelancong, penghantaran logistik dan aktiviti masyarakat akan menjadi lebih efisien serta selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

