Khatam bukan penamat, jadikan al-Quran teman sejati
Usah biarkan mashaf kembali berdebu di rak selepas Ramadan, teruskan berinteraksi dengan kalamullah

MESKIPUN Ramadan bakal pergi meninggalkan kita tidak lama lagi, usah biarkan lembaran mashaf yang dahulunya ligat diselak kembali berdebu di suatu sudut rumah atau rak.
Pendakwah selebriti, Ustaz Aniq Muhaimin Ismail atau lebih dikenali sebagai Aniq Muhai mengingatkan, membaca al-Quran bukan sekadar mengejar khatam, tetapi harus dijadikan amalan sepanjang hayat.
“Ingatlah, syarat al-Quran ini bukan bermakna apabila kita sudah habis (khatam) al-Quran, maka sudah tidak perlu baca lagi seperti novel," katanya ketika sesi tazkirah ringkas pada Majlis Khatam Al-Quran 4.0 di Dewan Karangkraf di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Program melibatkan 74 pelajar asnaf, anak yatim dan tahfiz itu dianjurkan oleh Akademi Pendidikan Sinar Bestari dengan kerjasama Sinar Harian, Sinar Bestari, Sinar Islam Plus dan Yayasan Nur Karangkraf.

Hadir sama, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli dan Pengetua Akademi Pendidikan Sinar Bestari, Meen Tahrin.
Benar, al-Quran bukan seperti sebuah novel yang apabila selesai dibaca, kemudian diletakkan kembali ke rak sehingga tahun berikutnya.
Ujar Ustaz Aniq Muhai yang juga mualim pada majlis khatam itu, sebaiknya kalamullah itu ialah teman sejati yang seharusnya kita bawa dalam kehidupan seharian.
“Jadikan al-Quran teman kita. Jangan tunggu 11 bulan baru hendak buka semula,” katanya sambil mengingatkan bahawa Al-Quran bukan hanya untuk Ramadan tetapi sebenarnya sepanjang tahun dan setiap masa.
Berusaha hafaz al-Quran
Dalam pada itu, Ustaz Aniq Muhai yang juga seorang penyanyi nasyid mengingatkan tentang kepentingan al-Quran yang tidak terbatas kepada sekadar membacanya, sebaliknya kitab suci itu harus dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Bila kita khatam, berusahalah untuk menghafalnya sebab dalam solat, kita tetap membaca bait-bait kalimah suci berkenaan.

"Takkan kita asyik hendak mengulang bacaan surah yang sama saja?" soalnya sambil mengingatkan umat Islam agar terus memperbanyakkan bacaan dan hafalan al-Quran supaya ia benar-benar menjadi cahaya dalam kehidupan kita.
Di samping itu, beliau turut mengingatkan bahawa konsistensi dalam beribadah juga tidak kurang pentingnya yang mana Ramadan sepatutnya menjadi titik mula dan bukan sekadar episod bermusim.
“Pastikan kita jangan tinggal (solat) tarawih, elak berjalan-jalan (terutama pada waktu solat tarawih). Jika ingin beli baju, lakukanlah pada waktu siang," titipnya.
Apatah lagi katanya, kita sering menyaksikan keajaiban Ramadan yang mana hati keras boleh menjadi lembut dan yang jauh boleh kembali dekat. Keindahan itu katanya, ia perlu diteruskan selepas Ramadan.
“Islam menggalakkan perubahan ke arah kebaikan tanpa mengira waktu,” ungkapnya.
Mahu terus belajar al-Quran Pada majlis khatam itu, antara yang mencuri tumpuan ialah seorang peserta berusia 11 tahun yang baru sahaja kehilangan ayahnya pada 10 Mac lalu.
Ketika ditemu bual, Nur Izzara Aisyah Amirrul Minin dari Sekolah Kebangsaan Bukit Kuda, Klang, Selangor itu tetap bersemangat mendalami kalamullah sebagai bekalan hidup dan hadiah sedekah buat bapa tersayang.
“Saya mahu terus belajar al-Quran dan bacanya untuk (arwah) ayah,” katanya yang mempelajari kalam ALLAH itu bersama ustazahnya di sekolah.
Bagi pelajar tahfiz, Muhammad Ammar Tuah Mohd Fairuz dari Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Shah Alam, beliau mengharapkan program itu dapat menjadi pemangkin perubahan anak muda agar lebih mencintai kalam ALLAH.

“Saya percaya ramai dalam kalangan mereka sebenarnya mahu berubah, tetapi tidak jumpa lagi orang sesuai untuk melakukan proses transisi itu.
“Pada saya, persekitaran yang baik amat penting dalam membimbing generasi muda untuk kembali kepada jalan ALLAH dan menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup,” katanya.
Sementara itu, guru Pendidikan Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam, Selangor, Ustaz Muhd Zahid Zakaria menyifatkan Majlis Khatam Al-Quran 4.0 bukan sekadar satu acara, tetapi menjadi peluang besar bagi pelajar khususnya golongan asnaf mendalami ilmu kalamullah.
“Ia satu inisiatif yang baik di samping dapat menyertai program ilmu, tazkirah dan sebagainya dalam bulan Ramadan ini,” ujarnya.
Beliau turut menyeru lebih ramai pihak berkepentingan tampil membantu agar lebih ramai pelajar terutama golongan asnaf mendapat peluang sama dalam mendalami al-Quran.

“Faktor masa terhad dan jumlah pelajar yang ramai adakalanya menjadi cabaran kepada guru.
“Bayangkan sekarang satu kelas, ada lebih 40 pelajar dan satu tingkatan pula ada lebih kurang 15 kelas. Sukar untuk memberi fokus kepada setiap pelajar untuk mendalami ilmu al-Quran dengan baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!