Wanita dijel lima hari, didenda RM2,000 jual makanan kepada individu tidak puasa

SETIU - Mahkamah Rendah Syariah Setiu pada Isnin lalu menjatuhkan hukuman penjara lima hari dan denda sebanyak RM2,000 ke atas seorang wanita selepas mengaku bersalah atas kesalahan tidak menghormati bulan Ramadan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz memaklumkan wanita berusia 48 tahun itu mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Setiu, Mat Ropi Busu semasa pertuduhan dibacakan ke atasnya mengikut Seksyen 19(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001.
"Mengikut keputusan mahkamah, sekiranya pesalah gagal membayar denda RM2,000, hukuman penjara akan ditambah selama 15 hari menjadikan jumlah keseluruhan selama 20 hari penjara.
"Bagaimanapun, pesalah berjaya membayar denda yang dikenakan dan kini menjalani hukuman penjara selama lima hari di Pusat Tahanan Wanita Pengkalan Chepa, Kelantan, bermula 24 Mac 2025 sehingga 28 Mac 2025," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.
Menurutnya, pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Khanurulhajja Mustaffa.
Sebelum ini, portal rasmi agensi kerajaan negeri melaporkan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menerusi Ops Supik Hitam menahan seorang wanita selepas disyaki menjual makanan dan minuman kepada individu yang tidak berpuasa di sebuah rumah di daerah Setiu pada 18 Mac lalu.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, wanita berusia 48 tahun itu ditahan pada jam 12.15 tengah hari oleh sepasukan Pegawai Penguatkuasa Syariah daerah Setiu dan ibu pejabat JHEAT.
Katanya, wanita tersebut ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 19, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana tidak menghormati bulan Ramadan dengan menjual dan membekal makanan kepada orang Islam pada waktu siang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
