Pulas telinga murid lima tahun salah tulis G, pengetua tadika didenda RM2,000

AMPANG – Tindakan seorang pengetua sebuah tadika memulas telinga murid berusia lima tahun kerana tersalah menulis huruf ‘G’ tahun lalu, mengundang padah apabila Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, menjatuhi hukuman denda maksimum RM2,000.
Guru berusia 61 tahun itu dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan yang dibacakan di hadapan Hakim Nurulizwan Ahmad Zubir.
Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara 20 hari sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang kanak-kanak perempuan dengan cara memulas telinga mangsa yang ketika kejadian berusia lima tahun di sebuah tadika di Taman Cempaka, di sini, pada jam 11.30 pagi, 6 Mac tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, pada 6 Mac 2024, kakak mangsa yang ketika itu berusia 10 tahun memberitahu ibu mereka mengenai kejadian yang menimpa adiknya.
Kanak-kanak itu memaklumkan bahawa tertuduh telah memukul mangsa menggunakan pen penanda di tangan kanan dan memulas telinganya kerana tersalah menulis huruf ‘G’.
Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan terdapat kecederaan tisu pada telinga kanan mangsa.
Semasa prosiding, peguam Jenifer Irithusamy merayu agar mahkamah mengenakan hukuman denda minimum kerana anak guamnya merupakan seorang ibu tunggal yang perlu menyara dua anak.
“Tertuduh memohon maaf kepada mahkamah, polis dan mangsa atas perbuatannya selain berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam yang melebihi keperluan peribadi.
“Pengakuan bersalah bukan jaminan untuk mendapatkan hukuman ringan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

