Juruelektrik dijel tujuh hari, denda RM3,500 tipu meter TNB

Thiagarajan (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu, bagi menghadapi satu pertuduhan memperdaya pemilik kopitiam berhubung kes pengubahsuaian meter elektrik TNB, minggu lalu.
Thiagarajan (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu, bagi menghadapi satu pertuduhan memperdaya pemilik kopitiam berhubung kes pengubahsuaian meter elektrik TNB, minggu lalu.
A
A
A

SHAH ALAM – Tindakan seorang juruelektrik memperdaya pemilik kopitiam berhubung kes pengubahsuaian meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) minggu lalu mengundang padah apabila Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM3,500 ke atasnya.

S. Thiagarajan, 40, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan yang dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

“Saya menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama,” kata hakim sebelum memerintahkan bapa kepada empat anak itu dipenjara bermula tarikh tangkap, 20 Mac lalu.

Tertuduh turut dikehendaki menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

No Image Caption

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memperdaya seorang pemilik premis makanan, seorang wanita berusia 29 tahun, supaya menyerahkan wang tunai berjumlah RM780 dengan mempercayai bahawa tertuduh boleh membantu mangsa agar tidak melaporkan pengubahsuaian meter elektrik kepada TNB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai kopitiam di Pusat Bandar Puchong pada 20 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada 19 Mac, tertuduh dan seorang rakannya hadir ke kopitiam berkenaan untuk membuat pemeriksaan meter dan mendapati berlaku kes kecurian elektrik.

Artikel Berkaitan:

Selepas berbincang, mangsa bersetuju untuk membuat bayaran sebanyak RM780 kepada tertuduh.

Sehari kemudian, mangsa hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor untuk membuat aduan.

Semasa rayuan, Thiagarajan memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana dia perlu menyara empat anak berusia empat hingga sembilan tahun bersama isterinya.

Dia yang menghidap penyakit hernia sejak empat tahun lalu berkata, isterinya baru mendapat kerja sebagai pengawal keselamatan bulan lalu bagi menambah pendapatan keluarga.

“Saya janji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa depan, malah sepanjang tempoh reman enam hari lalu, ia memberi pengajaran dan keinsafan memandangkan saya tidak dapat berjumpa dengan anak-anak serta isteri,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Asmaa' Zamri mencadangkan agar mahkamah mempertimbangkan hukuman berbentuk pencegahan dengan mengambil kira keseriusan kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!