Takut terima mesej pinjam duit lepas seminggu raya

SATU benda yang paling Merak Jalanan takutkan adalah tragedi yang bakal berlaku lepas sambutan hari raya Aidilfitri.
Bukan takut benda yang pelik-pelik tapi risau dapat mesej seram yang berbunyi; “Boleh pinjam duit dulu? Gaji nanti aku bayar”.
Mesej itu yang paling menakutkan bukannya apa, kita pun dah banyak guna duit waktu raya. Duit pun cukup-cukup untuk sampai hujung bulan. Tahu-tahu dapat mesej meraih simpati.
Raya pula awal bulan, sama ada 1 April atau 31 Mac. Lama lagi nak tunggu gaji mendatang. Kurang-kurang 25 hari lagi!
Merak Jalanan faham sangat. Hari raya lah kita nak berseronok sampaikan berbelanja baju Melayu sepasang berharga RM250, kasut baharu jenama antarabangsa. Belum lagi set persalinan raya kedua, raya ketiga dan raya keempat.
Tak salah kalau kita nak belanja sakan tapi kenalah berpada-pada sebabnya ada lagi kehidupan yang perlu dihadapi. Belanja minyak kereta untuk ulang alik kerja. Belanja makan harian. Kalau yang sudah berkeluarga lagi besar belanjanya.
Apa yang Merak Jalanan ceritakan ini pernah berlaku dalam diri sendiri. Dulu Merak Jalanan langsung tiada perancangan kewangan ketika nak sambut raya. Kalau boleh semuanya serba baharu dan tidak mahu langsung fikir episod selepas hari raya.
Sudahnya, rakan Merak Jalanan la jadi mangsa pinjaman duit. Tapi selepas mendapat hidayah. Merak Jalanan mula sedar.
Selepas itu pula Merak Jalanan pula dapat mesej mahu pinjam duit lepas seminggu berhari raya. Bukan dari kawan tetapi daripada pak cik dan mak cik. Bila melibatkan keluarga ini lagi berat. Bukannya apa, hutang lama pun masih tak terbayar lagi. Eloklah dengar lagu Puasa dan Raya nyanyian Senario.
Habis raya semua mula bekerja,
Poket kosong baru ingat nak puasa,
Kawan semua buat tak tahu saja,
Nak pinjam duit teringat hutang lama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
