Harimau Malaya terima kurniaan duit raya daripada Tunku Mahkota Ismail

SKUAD Harimau Malaya, termasuk pemain, barisan kejurulatihan serta semua staf sokongan, menerima berita gembira apabila mendapat kurniaan duit raya daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ).
Menurut hantaran di laman Facebook Malaysia NT, TMJ berkenan memberikan kurniaan tersebut selepas perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, pada Selasa.
“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, berangkat memberikan sokongan kepada pemain-pemain skuad kebangsaan kendalian Peter Cklamovski di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam, Johor, malam tadi.
“Baginda turut berkenan memberikan kurniaan duit raya kepada pemain, barisan kejurulatihan dan semua staf sokongan. Menjunjung kasih, Tuanku,” kata hantaran tersebut.
Bagaimanapun, jumlah kurniaan yang diterima oleh skuad Harimau Malaya tidak didedahkan dalam hantaran berkenaan.
Kejayaan meraih tiga mata penuh ke atas Nepal yang berada di ranking 175 dunia membolehkan anak buah Cklamovski membuka kempen dengan langkah kanan dalam misi melayakkan diri ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut selepas layak ke Qatar pada edisi 2023.
Revolusi dicetuskan TMJ dengan menampilkan barisan kejurulatihan baharu serta pemain warisan dari Sepanyol, Hector Hevel, berjaya membawa nafas baharu dalam corak permainan pasukan negara.
Malah, Hevel yang kini beraksi untuk kelab Portugal, Portimonense SC, turut meledak gol sulungnya bersama skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!