Tanah runtuh di Nabawan: Helikopter polis bawa bekalan makanan

KENINGAU – Sambutan Hari Polis ke-218 yang diraikan pada Selasa bukan sekadar menghargai jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan itu, tetapi turut mencerminkan semangat Sang Saka Biru yang bukan hanya menjaga keselamatan rakyat, malah berperanan dalam membantu penduduk menerusi misi kemanusiaan di daerah ini.
Misi kemanusiaan yang dilaksanakan pada hari peringatan polis itu melibatkan penghantaran bakul makanan kepada penduduk di beberapa kampung di bawah Mukim Tatalan, Nabawan, yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh sejak Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, operasi penghantaran dan pengagihan bantuan itu dimulakan seawal jam 9 pagi, menggunakan helikopter AW139 dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah.
"Misi ini dilaksanakan susulan mesyuarat yang diadakan berhubung keadaan penduduk di lima kampung yang terputus hubungan akibat jalan dan jambatan rosak berikutan tanah runtuh.
"Kampung yang terjejas ialah Kampung Pangaraan, Kampung Binanun, Kampung Pohon Batu, Kampung Sumbiling dan Kampung Tatalan Ulu, melibatkan kira-kira 200 penduduk yang terkandas tanpa akses kepada bekalan makanan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Katanya lagi, dalam operasi tersebut, sebanyak 100 bakul makanan dan 175 pek beras telah dihantar menggunakan helikopter, iaitu 65 bakul makanan ke Kampung Pangaraan dan 35 bakul makanan ke Kampung Pohon Batu.
"Keseluruhan muatan bantuan yang dibawa menggunakan helikopter adalah 2,750 kilogram, dengan lima kali trip penghantaran," katanya.
Bagaimanapun, menurut Yampil, operasi tersebut masih belum selesai dan akan disambung semula pada Rabu bagi menyalurkan baki bantuan kepada dua lagi kampung yang masih terputus hubungan.
"Sebanyak 4,790 kilogram bakul makanan dan pek beras masih belum dihantar kepada penduduk di Kampung Binanun dan Kampung Sumbiling.
"Dijangka misi ini akan disambung hari ini dengan kerjasama antara PDRM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya.
Tambahnya, keadaan kawasan mukim berkenaan masih belum boleh dilalui dan hubungan antara kampung-kampung di kawasan itu masih terputus.
"Setakat ini, cuaca dalam keadaan baik dan paras air sungai sudah mulai surut.
"Secara keseluruhan, operasi penghantaran bantuan yang dijalankan pada Selasa berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kira-kira 200 penduduk terputus bekalan makanan manakala 15 guru terkandas di Kampung Binanun selepas laluan keluar masuk kampung tersebut terjejas akibat kejadian tanah runtuh yang berlaku pada Khamis lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
