80 peratus bekalan minyak masak peket Aidilfitri tersedia

Azman melihat minyak masak peket bersubsidi yang dijual di Jualan Rahmah Madani di Kota Bharu. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Azman melihat minyak masak peket bersubsidi yang dijual di Jualan Rahmah Madani di Kota Bharu. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 80 peratus bekalan minyak masak peket bersubsidi tersedia di Kelantan menjelang Aidilfitri walaupun permintaan meningkat sepanjang Ramadan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, pemantauan mendapati kebanyakan kedai masih menerima bekalan secara konsisten.

“Setiap hari, pegawai kami menjalankan pemeriksaan ke atas 97 premis di seluruh negeri.

“Setakat ini, 80 peratus daripadanya masih mempunyai bekalan minyak masak paket walaupun permintaan tinggi akibat bazar Ramadan dan persiapan Aidilfitri,” katanya.

Bawang antara yang turut dijual pada program Jualan Rahmah Madani. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Bawang antara yang turut dijual pada program Jualan Rahmah Madani. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Menurutnya, antara faktor peningkatan permintaan ialah penggunaan minyak masak dalam penyediaan serta keperluan peniaga makanan sepanjang Ramadan.

“Kami akui permintaan memang meningkat terutama di kawasan yang mempunyai banyak bazar Ramadan kerana peniaga menggunakan minyak dalam kuantiti besar.

“Namun, bekalan masih terkawal dan tiada kekurangan ketara seperti yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi memastikan rakyat mendapat bekalan keperluan dengan harga berpatutan, KPDN Kelantan memperluaskan program Jualan Rahmah Madani Aidilfitri ke seluruh negeri.

Azman berkata, sehingga 25 Mac sebanyak 554 kali penganjuran dilaksanakan melibatkan 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 Parlimen di negeri ini.

“Program ini memberi peluang kepada pengguna mendapatkan minyak masak dan barangan keperluan lain dengan harga lebih rendah daripada pasaran.

“Sebanyak 1,000 kilogram minyak masak paket diperuntukkan dalam program ini bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Menurutnya, nilai jualan keseluruhan program itu mencecah RM22.1 juta dengan penjimatan hampir RM1.53 juta dinikmati rakyat menerusi pembelian barangan keperluan asas.

Dalam pada itu, KPDN Kelantan turut merekodkan 30,000 penerima tebus e-dompet Touch ’n Go (TNG) di bawah Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) yang diadakan di lima lokasi Bazar Ramadan Rahmah sepanjang bulan ini.

Beliau berkata, usaha memperluaskan program jualan murah dan kawalan bekalan barangan akan diteruskan bagi memastikan keperluan rakyat menjelang Aidilfitri mencukupi serta ditawarkan pada harga lebih berpatutan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!